
Wong berkata, beliau dimaklumkan pihak pengurusan MDV bahawa Perbendaharaan telah menghantar surat arahan untuk menamatkan kontraknya sebagai pengerusi bukan eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu berkuat kuasa 31 Mei ini.
Ahli Parlimen selama tiga penggal yang bersekutu dengan bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kementerian itu tidak menghantar surat atau menghubunginya untuk menjelaskan keputusan menamatkan perkhidmatannya.
Beliau mendakwa menerima jawatan itu dengan berat hati pada Mei 2023 kerana pada asalnya tidak bersetuju dengan Ahli Parlimen memegang jawatan dalam GLC.
“Saya tidak meminta jawatan itu, tetapi diarahkan perdana menteri untuk melaporkan diri. Kemudian saya dapati saya mengetuai sebuah institusi kewangan kerajaan dalam keadaan bermasalah.
“Tugas saya sebagai pengerusi bukan eksekutif baharu adalah jelas: untuk memberi kepimpinan tadbir urus. Perkara pertama yang saya lakukan ialah menyingkirkan pengaruh tidak wajar daripada ahli politik dan individu berkuasa.”
“Saya tidak menjawab panggilan telefon dan mesej WhatsApp daripada individu berpengaruh. Sebaliknya, saya meminta mereka menulis surat rasmi jika ada permintaan. Tiada seorang pun berbuat demikian dan selepas enam bulan, tiada lagi individu yang mengganggu saya,” katanya dalam catatan Facebook.
Wong berkata, MDV mencatatkan keuntungan RM3.4 juta pada 2024, sebelum jumlah itu digandakan tahun lalu.
Beliau dilantik pengerusi MDV, GLC yang menyediakan kemudahan pembiayaan kepada sektor teknologi maklumat dan komunikasi, pada 23 Mei 2023.
Menurutnya, beliau layak memegang jawatan itu kerana pernah menjadi peguam korporat.
Wong antara Ahli Parlimen PKR yang menghadiri sidang media Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mereka mengumumkan keputusan mengambil alih parti politik baharu, Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Walaupun masih bersama PKR, katanya, beliau akan menjadi calon Bersama jika bertanding pada PRU6.