
Beliau yang juga penasihat kanan politik perdana menteri, berkata malah beliau bersedia bertanding di mana-mana kerusi jika diberi peluang oleh PKR.
Katanya, tumpuannya kini untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu berbanding berkemungkinan menentang bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, di kawasan tersebut.
“Saya tak fikir langsung (mengenai kemungkinan bertanding melawan Rafizi di Parlimen Pandan). Ya, saya mungkin berdepan dengan gergasi (politik) jika betul beliau bertanding semula di Parlimen ini.
“Namun, yang lebih penting untuk kita ialah buat kerja dan memberi berkhidmat, di mana-mana pun sama ada di Pandan atau Ampang mahupun kawasan lain yang ditugaskan,” katanya menurut Berita Harian.
Pada 23 Mei, Naib Presiden PKR Amirudin Shari mengumumkan pelantikan Tengku Zafrul sebagai pegawai pemantau Parlimen Pandan dan Ampang, seiring langkah parti menjadikan Parlimen Pandan kawasan angkat kepada Anwar Ibrahim, yang juga presiden PKR.
Terdahulu, bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli mengumumkan keluar daripada PKR selain mengosongkan kerusi Pandan. Beliau akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama) selain dijangka mempertahankan kerusi itu pada PRU16.
Rafizi sebelum ini meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi pada Mei 2025 selepas tewas pemilihan parti.