
Ketua Polis Hulu Selangor Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian menimpa lelaki berusia 67 tahun itu di rumahnya di Batang Kali pada 5.30 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 5.18 petang semasa mangsa meletakkan kenderaannya di dalam garaj rumah sebelum keluar untuk menutup pagar.
“Bagaimanapun, kenderaan tersebut tiba-tiba mengundur sendiri dan melanggar mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dan tersepit di bawah kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Mangsa dipercayai tidak menarik brek tangan kenderaan itu selain keadaan garaj rumah yang landai dan menurun ke arah pintu pagar, tambahnya.
Ibrahim berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kereta jenis Proton Saga selepas tiba di lokasi kejadian pada 5.43 petang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Nurul Anati Zulkifli menerusi talian 03-6064 1222.