
Selepas menyelidik bidang ternakan menerusi penternak lain dan dalam talian, bapa tiga anak ini melepaskan gaji yang sudah tentu lumayan — berbekalkan keyakinan Khairoul Agrofarm akan membolehkan dia bersama keluarga kesayangan.
“Waktu doktor cakap Nur Auliya Humaira kena ditidurkan, dunia saya seakan terhenti. Ketika itu juga saya buat keputusan untuk berhenti,” kata Khairul, 41, bekas kru pengendalian lapangan di sebuah syarikat gergasi di Asia.
Khairul turut mempunyai beberapa ekor kambing pygmy untuk mainan anak-anaknya. “Saya memang tak ada pengalaman, hanya berbekal minat terhadap haiwan.”

Auliya kini berusia 7 tahun. Anak kecil ini menghidap penyakit jantung sejak lahir dan pernah berada dalam keadaan kritikal sehingga dia ditidurkan di hospital selama 40 hari, ketika berusia 3 tahun.
Hari ini, rutin hidup Khairul berkisar pada berbudi pada tanah, di sebuah kandang di Kampung Labu Lanjut, Sepang. Mengimbau zaman bersama anak-anak kapal lain, Khairul akui dia terlalu sibuk bekerja. “Waktu itu lapangan terbang jadi rumah pertama.”
Rakan-rakan khuatir memikirkan lelaki ini mahu meninggalkan kerjaya selama 18 tahun dalam industri penerbangan. Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
“Waktu saya lepaskan jawatan, saya menangis, jatuh terduduk. Saya hanya berserah kepada Allah untuk atur hidup saya. Alhamdulillah, Dia bagi saya segala-galanya sekarang,” katanya.
Anak jati Subang ini bermula dengan 60 ekor kambing. Pengetahuan dan kerja keras sahaja tidak mencukupi — pengajaran yang Khairul sematkan apabila dia hampir patah semangat selepas lapan ternakan mati dalam satu malam.
“Tapi saya fikir tanggungjawab kepada keluarga. Prinsip saya, kalau dah mula, kena teruskan. Perlu yakin ada pengakhiran yang baik.”
Kecekalan membuahkan hasil, dan kini ternakannya bertambah kepada ratusan ekor termasuk lembu.
Menuju Aidiladha, Khairoul Agrofarm menerima tempahan yang memberangsangkan setakat Mei, dengan 60 ekor kambing dan 30 lembu sudah pun berpunya.
Khairul bersyukur usaha kerasnya membuahkan hasil agar dia boleh bersama keluarga. Bapa ini memasang cita-cita untuk membuka sebuah ‘petting zoo’ suatu hari nanti.