Budak lelaki maut, 11 cedera dalam kemalangan 3 kereta

Budak lelaki maut, 11 cedera dalam kemalangan 3 kereta

Bomba berkata kemalangan pada awal itu berlaku di Lebuhraya Segamat-Kuantan, Muadzam Shah di Rompin.

kemalangan segamat
Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam tiga kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak lelaki maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Lebuhraya Segamat-Kuantan, Muadzam Shah di Rompin awal pagi tadi.

Dalam kejadian kemalangan kira-kira 1.12 pagi itu, 11 mangsa juga dilaporkan cedera, lapor Sinar Harian.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan melibatkan 12 mangsa daripada tiga kenderaan iaitu Proton Saga, Perodua Alza dan Perodua Axia.

Katanya, dalam Proton Saga, dua lelaki dewasa tersepit dan cedera manakala seorang kanak-kanak lelaki turut cedera dan seorang lagi kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, seorang lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki Perodua Alza dilaporkan cedera.

“Bagi Perodua Axia pula, seorang perempuan dewasa tersepit dan cedera manakala dua lagi perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki turut cedera,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam kenderaan tersebut.

“Semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.