Penganalisis cadang denda wakil rakyat letak jawatan awal, halang tanding

Penganalisis cadang denda wakil rakyat letak jawatan awal, halang tanding

Mazlan Ali berkata langkah itu perlu bagi elak wakil rakyat lepas jawatan tanpa alasan kukuh sehingga menyebabkan pengundi hilang perwakilan.

Rafizi Ramli Nik Nazmi Nik Ahmad
Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad letak jawatan wakil rakyat pada 18 Mei lalu.
PETALING JAYA:
Kerajaan dicadang menggubal undang-undang khusus mewajibkan wakil rakyat yang meletak jawatan sebelum tamat penggal membayar denda atau dihalang bertanding semula bagi tempoh tertentu.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, langkah itu perlu dipertimbang bagi mengelakkan wakil rakyat melepaskan jawatan secara sukarela tanpa alasan kukuh sehingga menyebabkan pengundi hilang perwakilan.

Merujuk tindakan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengosongkan kerusi Pandan dan Setiawangsa, Mazlan berkata bekas menteri terbabit tidak adil kepada rakyat kerana tempoh penggal Parlimen masih berbaki lebih setahun, namun tiada PRK akan diadakan.

“Sepatutnya, kes seperti ini pada masa depan boleh digubal undang-undang bahawa mereka yang meletakkan jawatan tidak boleh lagi bertanding untuk tempoh lima tahun atau mungkin juga mengenakan denda, di mana mereka perlu membayar pampasan kepada kerajaan untuk tempoh penggal yang masih ada.

“Misalnya sekarang dah letak jawatan, katalah Parlimen ada setahun setengah lagi, maka dalam tempoh setahun setengah itu mesti dibayar pampasan supaya kerajaan dapat menyediakan satu agensi untuk menyambung khidmat kepada rakyat. Jadi, wang pampasan digunakan untuk menjalankan servis itu,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tiada PRK bagi kerusi tersebut susulan peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi pada 18 Mei lalu.

PRK tidak diwajibkan kerana Parlimen akan terbubar secara automatik dalam tempoh kurang dua tahun, namun speaker boleh meminta SPR mengadakan pilihan raya jika beliau memaklumkan secara bertulis kekosongan kerusi itu menjejaskan majoriti kerajaan di Dewan Rakyat.

Rafizi dan Nik Nazmi yang meletakkan jawatan Ahli Parlimen sebelum keluar PKR, kini mengambil alih Parti Bersama Malaysia.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpandangan isu tersebut perlu dilihat secara seimbang kerana demokrasi juga memberi hak kepada wakil rakyat berundur atas sebab tertentu.

Katanya, mengenakan syarat terlalu ketat atau melarang terus peletakan jawatan boleh dianggap tidak demokratik.

“Sebab itu kita ada undang-undang antilompat parti yang menetapkan wakil rakyat akan kehilangan kerusi jika keluar parti. Saya tahu secara teknikal ia tidak terpakai dalam kes ini kerana mereka meletakkan jawatan terlebih dahulu.

“Tetapi, poinnya ialah kita sebenarnya sudah ada satu bentuk garis panduan untuk menjaga kestabilan politik, cuma ia sukar dilaksanakan sepenuhnya kerana dalam sistem demokrasi kita perlu mencari keseimbangan antara kestabilan dan kebebasan individu,” katanya.

Syaza berkata, tindakan wakil rakyat meletakkan jawatan boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi politik jika dilihat sebagai strategi demi kepentingan politik semata-mata.

Namun, beliau berkata episod itu juga boleh menjadi duluan penting untuk Malaysia menilai semula kelemahan undang-undang sedia ada dan kemungkinan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) atau syarat lebih jelas berkaitan peletakan jawatan wakil rakyat.

“Saya rasa rakyat semakin matang dan bijak kerana kita sudah melalui pelbagai episod politik sejak 2020. Jika Ahli Parlimen meletakkan jawatan dan tindakan itu dilihat strategi politik demi kepentingan sendiri atau parti, rakyat mungkin menjadi sinis dan keyakinan terhadap institusi politik boleh terjejas,” katanya.

Menurutnya, jika tindakan itu dijelaskan dengan baik dan dilihat berasaskan prinsip tertentu kesannya tidaklah terlalu besar terhadap persepsi rakyat.

“Mungkin selepas ini akan ada pihak yang melihat wujudnya kelompangan dalam undang-undang antilompat parti, dan kita bimbang jika ia dimanfaatkan untuk keuntungan politik jangka pendek oleh pihak tertentu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.