Pemungut hutang didakwa kurung, amang seksual fizikal remaja lelaki

Pemungut hutang didakwa kurung, amang seksual fizikal remaja lelaki

Fadwan Abd Muaain mengaku salah atas semua tuduhan di dua mahkamah berasingan di Shah Alam.

shah alam court
Fadwan Abd Muaain dihukum penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan kurung dan cederakan mangsa, manakala bagi kesalahan amang seksual fizikal, Mahkamah Sesyen tetap 8 Jun untuk jatuh hukuman.
PETALING JAYA:
Seorang pemungut hutang didakwa di dua mahkamah berasingan di Shah Alam atas tuduhan mengurung, mencederakan dan amang seksual fizikal seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning minggu lalu.

Di Mahkamah Majistret, tertuduh Fadwan Abd Muaain, 42, mengaku bersalah atas tuduhan mengurung dan mencederakan mangsa selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan pertama, Fadwan yang bekerja sebagai pemungut hutang didakwa mengurung remaja itu dengan mengikat tangan dan kaki mangsa di sebuah pangsapuri di Seksyen 32 Shah Alam antara 8.05 pagi sehingga 11.50 pagi, 11 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Fadwan juga didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, pada waktu, tarikh dan lokasi sama, serta dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dengan peruntukan hukuman serupa.

Wan Noora kemudiannya menjatuhkan hukuman sembilan bulan bagi kesalahan mengurung mangsa dan hukuman penjara enam bulan bagi kesalahan mencederakan. Beliau juga mengarahkan hukuman itu berjalan berasingan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amirah Zahari sementara tertuduh diwakili peguam Adli Hakim Azami dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Fadwan juga mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama di lokasi, masa dan tarikh serupa.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Hakim Rasyihah Ghazali menetapkan 8 Jun depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Bagi kes ini, pendakwaan dikenalikan Timbalan Pendakwa Raya, KS Rinisha Priyya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.