KPM serah polis siasat kes gangguan seksual guru terhadap murid Darjah 6

KPM serah polis siasat kes gangguan seksual guru terhadap murid Darjah 6

Menterinya Fadhlina Sidek berkata guru terbabit juga telah direhatkan serta-merta sementara siasatan dijalankan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya akan meneruskan siasatan dalaman terhadap dakwaan itu sambil menegaskan kementerian tidak berkompromi dengan kes gangguan seksual.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan tular gangguan seksual seorang guru terhadap murid Darjah 6 di sebuah sekolah di Johor.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata guru terbabit juga telah direhatkan serta-merta sementara siasatan dijalankan.

“Siasatan diserahkan kepada polis. Guru direhatkan serta merta.

“Siasatan dalaman diteruskan. KPM tidak kompromi kes gangguan seksual,” katanya di Facebook.

Terdahulu, tular satu pendedahan di media sosial berhubung kejadian gangguan seksual membabitkan seorang guru dan murid perempuan darjah 6 di sebuah sekolah rendah di Masai, tahun lalu.

Bekas guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh, mendakwa guru besar sekolah terbabit membuat laporan polis sebanyak dua kali untuk menggesa Pusat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang mengambil tindakan tegas terhadap guru berusia 28 tahun itu.

Menurutnya, guru terbabit telah dipindahkan sementara ke PPD selama tiga bulan namun dia dibenarkan mengajar semula bermula sesi persekolahan tahun ini.

“Tindakan dari PPD Pasir Gudang sangat mengejutkan. Kena ‘pool’ sekitar tiga bulan sahaja. Sekarang, guru ini kembali bertugas di sekolah macam tidak ada apa.

“Ada ibu bapa yang tahu mengenai kes ini sangat terkejut. Mereka ada anak perempuan dan anak perempuan mereka diajar oleh guru yang ada kes ini. Mereka buat laporan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa) dan jawapan mereka adalah ‘keputusannya sulit’,” katanya.

Fadhli berkata dia kesal dengan tindakan PPD sambil menegaskan bahawa guru terbabit tidak seharusnya diberi peluang untuk terus mengajar di sekolah.

“PPD Pasir Gudang sila bertanggungjawab dan betulkan semula benda salah ini. Jangan nak lindungi seorang guru, ribuan nasib murid-murid lain diabaikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.