

Setiausaha Agung Fouzi Singon berkata, akta itu penting bagi memastikan guru dapat menjalankan tugas dalam suasana lebih selamat tanpa dibebani ancaman tindakan undang-undang atau aduan tidak berasas.
“Akta perlindungan guru adalah mekanisme bagi membela hak guru yang sering kali dicabar oleh ibu bapa.
“Akta ini bagi memberikan rasa selesa dan selamat dalam kalangan guru yang melaksanakan tugas mereka dan tidak sewenang-wenangnya diambil kesempatan dari sudut undang-undang serta ancaman oleh ibu bapa atau penjaga murid,” katanya kepada FMT.
Gesaan itu susulan tular luahan seorang guru yang kesal apabila sekolah dikenakan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) kerana mengutip RM70 bagi satu keluarga untuk program ‘Bacathon’, bertujuan membaik pulih kemudahan sekolah.
Fouzi berkata, selama ini NUTP membelanjakan kira-kira RM1.5 juta setahun bagi menyediakan khidmat guaman kepada guru yang berdepan tindakan undang-undang, manakala bantuan perundangan Kementerian Pendidikan (KPM) hanya melibatkan kes tertentu sahaja.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai guru rasa terdedah dan tidak cukup dilindungi ketika menjalankan tugas.
Bagaimanapun, Fouzi menegaskan sekolah juga tidak wajar mengutip wang daripada penjaga bagi tujuan pembaikan atau penambahan prasarana sekolah kerana perkara itu sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan atau dilaksanakan melalui inisiatif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Katanya, penglibatan guru dalam kutipan sedemikian boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan ibu bapa dan warga pendidik sendiri.

Sementara itu, ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore, berpandangan SISPAA sepatutnya berfungsi sebagai platform membina, bukan mekanisme menghukum sekolah bagi isu kecil yang boleh diselesaikan secara dalaman.
Katanya, kes kutipan RM70 untuk program ‘Bacathon’ bertujuan memperbaiki fasiliti pelajar menunjukkan keperluan kepada pendekatan lebih berhemah, termasuk mengutamakan komunikasi antara ibu bapa dan sekolah sebelum aduan rasmi dibuat.
Beliau turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan garis panduan atau mekanisme tapisan awal lebih jelas dalam SISPAA bagi membezakan isu integriti serius dengan isu domestik sekolah yang boleh diselesaikan menerusi PIBG.
“Sudah sampai masa untuk ada satu mekanisme tapisan awal yang ketat supaya aduan bersifat remeh ini tidak terus bertukar menjadi siasatan rasmi yang membebankan sekolah,” katanya.
Katanya, hari ini guru bukan sahaja berdepan cabaran mendidik di bilik darjah, malah turut terdedah kepada buli siber, tekanan masyarakat dan ancaman tindakan undang-undang.
“Seharusnya, hubungan antara ibu bapa dan guru mesti harmoni dan saling melengkapi. Namun, kebebasan membuat aduan tanpa had dan tapisan hanya akan merosakkan ekosistem pendidikan negara,” katanya.