
Pesuruhjaya Kehakiman K Raja Segaran memutuskan bahawa suami sebagai pempetisyen gagal membuktikan bahawa ketiadaan hubungan kelamin dalam perkahwinan itu berpunca daripada keengganan sengaja pihak isteri, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 70(b) Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.
“Dekri pembatalan tidak diberikan melalui persetujuan semata-mata, tetapi hanya jika mahkamah berpuas hati bahawa alasan berkanun telah dibuktikan,” katanya dalam penghakiman bertulis.
Mahkamah mendapati kes pempetisyen hampir sepenuhnya bergantung kepada dakwaan umum dalam bentuk afidavit, tanpa disokong perincian fakta.
“Tiada bukti selain pernyataan afidavit yang menunjukkan usaha, jika ada, untuk menyempurnakan perkahwinan, peluang yang wujud dalam konteks berkaitan, perlakuan khusus yang menunjukkan keengganan, atau fakta sekeliling yang membolehkan inferens bahawa responden secara tetap dan jelas enggan,” kata Raja Segaran.
Hakim itu menegaskan bahawa ambang undang-undang di bawah Seksyen 70(b) memerlukan pembuktian punca kepada ketidaksempurnaan perkahwinan.
Isteri tidak membantah petisyen tersebut dan memfailkan afidavit menyatakan tiada bantahan terhadap pembatalan.
Bagaimanapun, mahkamah berkata persetujuan itu tidak mengurangkan beban pembuktian yang ditetapkan oleh undang-undang.
Beliau berkata status perkahwinan bukan perkara peribadi yang boleh diubah melalui persetujuan, sebaliknya status undang-undang yang tertakluk secara ketat kepada peruntukan undang-undang.
Mahkamah turut memberi peringatan lebih luas terhadap penyalahgunaan prosiding pembatalan.
Raja Segaran menyatakan fakta kes itu menunjukkan perkahwinan yang singkat dan tidak berjaya, bukannya perkahwinan yang cacat dari segi undang-undang.
“Jika ketidaksempurnaan digabungkan dengan persetujuan sudah mencukupi, bidang kuasa pembatalan akan menjadi mekanisme untuk pembubaran secara persetujuan di luar perlindungan undang-undang,” katanya.
Pendekatan sedemikian, tegasnya, akan menjejaskan kerangka perundangan yang mengawal perkahwinan dan perceraian.
Raja Segaran menolak kes tersebut tanpa menjejaskan hak pihak-pihak untuk memfailkan petisyen baharu bagi perceraian berdasarkan alasan yang diperuntukkan undang-undang.
Menurut fakta kes, pasangan itu mendaftarkan perkahwinan mereka pada 22 Mei tahun lalu di Jabatan Pendaftaran Negara di Petaling, Selangor.
Dakwaan utama ialah perkahwinan tidak disempurnakan (melakukan hubungan kelamin) akibat keengganan sengaja pihak isteri.
Petisyen itu turut menyatakan bahawa pasangan itu tinggal di Masai, Johor, dengan pertengkaran kerap berlaku dan isteri sering tidak sehaluan dengan suami. Pasangan itu juga mendakwa tiada persefahaman antara mereka.
Pada Januari tahun ini, selepas satu pertengkaran, suami menyatakan tidak lagi berhasrat meneruskan perkahwinan mereka.
Pada 26 Feb, suami mengesahkan afidavitnya, manakala isteri memfailkan afidavit persetujuan awal bulan lalu.