Menteri jamin bantu penduduk Setiawangsa, terus pelihara Bukit Dinding

Menteri jamin bantu penduduk Setiawangsa, terus pelihara Bukit Dinding

Hannah Yeoh berkata perkhidmatan kepada penduduk akan berjalan seperti biasa walaupun Nik Nazmi Nik Ahmad mengosongkan kerusi Parlimen Setiawangsa.

hannah yeoh
Hannah Yeoh meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur bantu perkukuhkan peranan pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa dalam menangani isu tempatan serta memastikan aduan penduduk terus diberikan perhatian sewajarnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh memberi jaminan penduduk Setiawangsa akan terus menerima perkhidmatan dan sokongan sewajarnya susulan keputusan Nik Nazmi Nik Ahmad mengosongkan kerusi Parlimen kawasan itu.

Beliau juga bekerjasama dengan semua pihak bagi meneruskan usaha melindungi dan memelihara Bukit Dinding supaya ia kekal sebagai paru-paru hijau Kuala Lumpur untuk manfaat penduduk setempat.

Isu Bukit Dinding antara perjuangan dibawa Nik Nazmi di Setiawangsa dan pernah berusaha mewartakannya sebagai hutan simpanan kekal (HSK) di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 ketika menjadi menteri sumber asli dan kelestarian alam.

Hannah dalam kenyataan berkata beliau telah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur Fadlun Mak Ujud membantu memperkukuhkan peranan pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Setiawangsa dalam menangani isu-isu tempatan serta memastikan aduan dan keperluan penduduk terus diberikan perhatian sewajarnya.

“Ini termasuk penambahan tenaga kerja bagi mempercepatkan tindakan di lapangan sepanjang tempoh ini,” katanya dalam kenyataan sambil menyatakan penghargaan terhadap perkhidmatan Nik Nazmi.

Hannah berkata penduduk boleh berurusan dengan Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cawangan Setiawangsa di D’Wangsa, 1, Jalan Wangsa Delima 13, Wangsa Maju, dari 8 pagi hingga 4.30 petang, Isnin hingga Jumaat.

“Mereka juga boleh menghubungi pejabat itu di talian 03-4142 2740 atau menghantar emel kepada [email protected].

Semalam, Nik Nazmi dan wakil rakyat Pandan Rafizi Ramli, keluar PKR serta mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.

Kedua-dua bekas pemimpin PKR itu turut mengumumkan langkah mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama) sebagai hala tuju politik baharu mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.