PH Johor umum tanding semua 56 DUN menjelang PRN

PH Johor umum tanding semua 56 DUN menjelang PRN

Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan berkata BN telah 'membuka laluan' dengan kata putus untuk bertanding di semua kawasan.

Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan, berkata gabungan itu memutuskan bertanding di semua 56 kerusi pada PRN susulan pengumuman Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi, yang secara terbuka akan bertanding solo. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) Johor mengumumkan akan bertanding di semua 56 DUN pada PRN akan datang, sebagai tindak balas terhadap keputusan Barisan Nasional (BN) negeri meletakkan calon di setiap kawasan.

Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan, berkata keputusan itu dibuat selepas Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, semalam mengisytiharkan BN akan bertanding di semua 56 kerusi DUN.

“Maka, PH Johor juga akan turut sama bertanding kepada 56 kerusi.

“Mereka telah berikan laluan, mereka telah buka laluan, mereka telah berikan kata putus, maka kami tidak akan berundur,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH, di Johor Bahru.

DUN Johor akan terbubar secara automatik pada April 2027 jika pilihan raya tidak diadakan sebelum tempoh itu, dan selepas pembubaran, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

BN membentuk kerajaan negeri selepas menang 40 daripada 56 kerusi pada PRN Johor 2022.

PH pula menang 12 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) tiga, dan Muda satu.

Aminolhuda berkata, PH bersedia bertembung sekali lagi pada PRN Johor akan datang, sambil menambah mereka ‘tidak mungkin menyerah kalah’ atau ‘merayu’ (peruntukan kerusi).

“Ada negeri lain yang persoalkan mengapa kita mahu menentang sekutu sendiri, jawapannya mudah – kerana mereka yang dahulu isytihar,” katanya.

“Mereka sudah umum, jadi kita sambut.”

Aminolhuda turut menzahirkan keyakinan PH Johor akan dapat mengulangi prestasinya dalam PRU14 pada 2018 apabila menang 18 daripada 26 kerusi Parlimen, berbanding lapan kerusi dimenangi BN.

Beliau berkata, Johor kekal ‘memihak secara politik’ kepada PH didorong kekuatan Parlimen gabungan itu serta sokongan di kawasan bandar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.