Puad ingatkan Nga tentang ‘sidang DUN’ bawah pokok pada 2009

Puad ingatkan Nga tentang ‘sidang DUN’ bawah pokok pada 2009

Bidas kritikan peruntukan Adun lantikan di Johor, ahli MKT Umno persoal 'langkah pintu belakang' serupa di Perak pada 2009.

Puad Zarkashi Nga Kor Ming
Puad Zarkashi berkata, kempen tandatangan yang dicadangkan oleh Nga Kor Ming bagi membantah peruntukan Adun lantikan di Johor itu sendiri tidak berperlembagaan.
PETALING JAYA:
Ketika Umno dan DAP saling bertikam lidah berhubung isu Adun lantikan di Johor, Puad Zarkashi daripada Umno mengingatkan pemimpin DAP Nga Kor Ming tentang penglibatannya dalam ‘sidang DUN Perak’ yang diadakan di bawah pokok pada 2009.

Menangkis kritikan DAP terhadap usul DUN Johor yang memperuntukkan lima Adun lantikan, Puad yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, DUN Johor telah meluluskan pindaan perlembagaan tersebut secara teratur dengan majoriti dua pertiga serta mematuhi protokol.

Berhubung sidang DUN Perak yang dikendalikan di bawah pokok pada 2009, Puad berkata, Nga pada masa itu merupakan exco kerajaan negeri yang kehilangan jawatan apabila Pakatan Rakyat hilang majoriti dalam dewan selepas tiga Adun keluar parti.

“Nga hadir sidang bawah pokok pada 3 Mac 2009 itu. Apakah itu berperlembagaan dan demokratik? Bukankah itu langkah ikut pintu belakang?” soal Puad menerusi hantaran di Facebook, sebagai respons terhadap kritikan Nga bahawa pindaan di Johor itu tidak berperlembagaan.

Nga berkata, peruntukan Adun lantikan itu akan membolehkan ahli politik menjadi ahli dewan melalui ‘pintu belakang’, dan Pakatan Harapan akan melancarkan kempen tandatangan bagi membantah keputusan itu.

Bagaimanapun, Puad berkata, kempen seumpama itu itu sendiri tidak berperlembagaan, dengan menegaskan bahawa tandatangan tersebut ‘boleh dieksploit’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.