Zahid mahu peraga kekuatan lepas sebut ‘hampir pasti solo’, kata penganalisis

Zahid mahu peraga kekuatan lepas sebut ‘hampir pasti solo’, kata penganalisis

Kenyataan presiden Umno itu dilihat antara cara membakar semangat penyokong selain menonjolkan niat parti itu untuk kembali mendominasi kancah politik.

zahid hamidi
Presiden Umno Zahid Hamidi yang juga pengerusi BN berucap pada sambutan ulang tahun ke-80 Umno di Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kenyataan Zahid Hamidi bahawa Barisan Nasional (BN) hampir pasti akan bergerak solo pada PRU akan datang bertujuan membakar semangat penyokong Umno, selain menonjolkan niat parti itu untuk kembali mendominasi kancah politik.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata Zahid yang merupakan pengerusi BN dan presiden Umno, bukan terlalu bersifat terlalu optimistik, sebaliknya cuba mengetengahkan hasrat Umno kembali menerajui kepimpinan negara.

“Satu-satunya cara untuk kembali dominan adalah dengan bertanding seberapa banyak kerusi yang boleh,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, apa disebut Zahid juga bertujuan menjadi pelengkap kenyataan Naib Presiden Umno Johari Ghani, bahawa Umno bukan lagi kuasa politik dominan seperti dinikmatinya suatu masa dahulu.

Sebelum ini, Zahid menyatakan BN hampir pasti akan bergerak solo pada PRU16, walaupun tidak akan bertanding di semua 222 kerusi Parlimen.

Beliau berkata, gabungan itu hanya akan bertanding di kerusi yang mampu menang dan mengelak pertembungan dengan parti sahabat, sambil menambah persaingan pelbagai penjuru hanya akan merugikan semua gabungan.

Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata kenyataan Zahid bertujuan meningkatkan keyakinan akar umbi sambil memberi isyarat Umno mampu bergerak sendiri.

Namun, Zahid juga memahami realiti semasa apabila menyatakan parti juga tidak boleh mengetepikan keperluan membentuk pakatan dengan gabungan lain, katanya.

“Peringatan Johari kepada ahli bahawa Umno tidak lagi berada di tahap sama seperti 20 tahun lalu adalah sesuatu yang baik, tetapi kita juga perlu faham Zahid, selaku presiden, kena tunjuk kekuatan dan keyakinan,” katanya.

Beliau menambah, sebenarnya ramai dalam Umno juga menyedari dilema dihadapi parti itu dalam usaha kembali menjadi kuasa dominan.

James Chin daripada Universiti Tasmania, berkata apa disebut Zahid menjadi sebahagian strategi penentuan kedudukan yang lazim dilakukan pemimpin politik menjelang pilihan raya.

“Tidak seharusnya anda memandang terlalu serius terhadap apa diperkatakan pemimpin politik pada peringkat ini, termasuk Zahid, kerana mereka semua sedang dalam proses meletakkan parti atau gabungan masing-masing pada kedudukan strategik pada PRU akan datang.”

Chin berkata, Umno masih belum memaparkan di mana sokongan pengundi Melayu telah kembali kepadanya, selepas mereka meminggirkan parti tersebut pada dua PRU sebelum ini. Chin berkata, PAS dilihat lebih banyak menarik minat pengundi Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.