
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata walaupun Umno cuba membingkai pendirian itu sebagai usaha mempertahankan adat dan institusi diraja, namun tindakan itu juga boleh dibaca pengundi sebagai percubaan menekan Pakatan Harapan (PH).
Beliau memberi amaran keadaan itu boleh menjadi ‘pedang bermata dua’ kerana Barisan Nasional (BN) mungkin dihukum lebih teruk jika rakyat melihatnya cuba memperalatkan isu institusi diraja untuk kepentingan politik terutama merebut jawatan menteri besar.
“Jika keadaan ini berlaku, Umno/BN berisiko dilihat sebagai parti yang menggali kuburnya sendiri manakala PH boleh membingkai naratif Umno mengkhianati mandat rakyat serta memperalatkan institusi diraja.
“Perikatan Nasional (PN) berpeluang masuk sebagai alternatif ‘lebih bersih’ jika perpecahan PH-BN berlarutan,” kata penganalisis dari Global Asia Consulting itu kepada FMT.
Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias pada Sabtu berkata parti itu lebih rela menjadi pembangkang daripada duduk dalam kerajaan dan melihat sahaja kesilapan Menteri Besar Aminuddin Harun.
Kenyataan beliau itu dibuat ketika Biro Politik Umno beberapa hari sebelumnya memutuskan parti itu kekal menyokong kerajaan perpaduan Negeri Sembilan, walaupun menghormati pendirian 14 Adun BN yang hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.
14 Adun itu mendakwa berbuat demikian kerana kegagalan Aminuddin menguruskan krisis institusi adat dan perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.
Semalam, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata krisis pentadbiran di Negeri Sembilan akan dbincangkan melalui Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan dijadualkan berlangsung minggu ini.
Pada PRN 2023, BN menang 14 kerusi manakala 17 dimenangi PH yang kemudiannya bergabung membentuk pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan dengan majoriti kukuh.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia turut melihat langkah Umno Negeri Sembilan sebagai berisiko, khususnya kerana BN memperoleh 14 kerusi itu dalam suasana kerjasama dengan PH.
Katanya, jika berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU16, Umno belum tentu mampu mengekalkan kedudukan semasa.
“Saya percaya Umno tidak boleh menang di Negeri Sembilan jika berlaku tiga penjuru,” katanya yang turut berpandangan Umno kini berdepan persepsi hanya mahu mengambil alih kuasa.
Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara melihat pendirian Umno Negeri Sembilan tidak semestinya bercanggah dengan pendirian Umno pusat yang mahu mengekalkan kerjasama dengan PH sehingga PRU16.
Katanya, isu di Negeri Sembilan unik kerana membabitkan adat negeri dan Umno Negeri Sembilan mungkin mahu menunjukkan pendirian prinsip menteri besar sepatutnya berkecuali dalam pertikaian berkait institusi adat.
Azmi berkata berbanding Johor dan Melaka yang menyaksikan Umno lebih dominan, kedudukan BN dan PH di Negeri Sembilan hampir seimbang.
“Dalam hal ini, sama ada Umno menerima kesan negatif bergantung kepada pengundi Negeri Sembilan.
“Apa yang dinyatakan Jalaluddin adalah pegangan dan prinsip menyokong perlembagaan adat di Negeri Sembilan, sama ada dibaca positif atau negatif, bergantung kepada pengundi,” katanya.