Sekretariat dakwa Umno N Sembilan derhaka heret institusi diraja ke konvensyen parti

Sekretariat dakwa Umno N Sembilan derhaka heret institusi diraja ke konvensyen parti

Pengerusi Megat D Shahriman Zaharudin berkata tindakan itu turut hina rakyat Negeri Sembilan yang bernaung di bawah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

pc umno negeri sembilan
Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memberi tempoh 48 jam kepada Jalaluddin Alias dan 13 Adun BN lain untuk memohon maaf kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mengecam Umno negeri itu kerana didakwa mengheret institusi diraja dalam Konvensyen 80 Tahun Umno, semalam.

Pengerusinya Megat D Shahriman Zaharudin menyifatkan tindakan itu sebagai penderhakaan dan tidak boleh dimaafkan sambil mepersoalkan perjuangan Umno sering melaung-laungkan ketegasan mempertahankan agama, bangsa dan Raja-Raja Melayu.

Megat D Shahriman Zaharudin
Megat D Shahriman Zaharudin.

Tegasnya, tindakan itu mencabul kedaulatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 Bahagian II dan melanggar prinsip Raja Berperlembagaan di bawah Perkara 32 dan Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan.

“Institusi diraja yang menjadi lambang kedaulatan adat perpatih telah dijadikan bahan politik murahan demi mengemis sokongan.

“Kamu bukan sahaja menghina Tuanku Muhriz, malah menghina seluruh rakyat Negeri Sembilan yang bernaung di bawah panji-panji baginda,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ketua Umo Negeri Sembilan Jalaluddin Alias ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun Umno menghuraikan kronologi krisis institusi itu untuk menjelaskan tindakan beliau serta 13 Adun Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.

Jalaluddin mengulangi alasan tindakan dibuat Isnin lalu itu kerana kegagalan Aminuddin menguruskan sebaiknya krisis institusi perlembagaan negeri sehingga menjadi perhatian umum.

Shariman menegaskan pihaknya memberi tempoh 48 jam kepada Jalaluddin serta Adun BN lain memohon maaf kepada Tuanku Muhriz.

Beliau juga menuntut polis dan peguam negara menyiasat tindakan itu di bawah Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan serta kesalahan mencabul Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 kerana menghina institusi diraja serta menghasut rakyat.

“Majlis Kerja Tertinggi Umno mesti menggantung serta memecat semua pemimpin Umno Negeri Sembilan yang terlibat kerana mencemar nama baik parti dan melakukan penderhakaan terhadap raja.

“Jika tiada sebarang tindakan selepas tempoh itu, sekretariat akan mendapatkan nasihat guaman bagi tindakan undang-undang selanjutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.