Umno NS boleh ‘tebuk atap’ lebih awal tapi taat arahan, kata Jalaluddin

Umno NS boleh ‘tebuk atap’ lebih awal tapi taat arahan, kata Jalaluddin

Ketua Umno Negeri Sembilan berkata parti itu menang kerusi terbanyak pada PRN 2023 tetapi memilih dan sokong kerajaan perpaduan.

Jalaluddin Alias berkata beliau tidak pernah berselisih dengan Aminuddin Harun sepanjang lebih dua tahun menjadi exco kanan Negeri Sembilan. (Gambar UMNO)
KUALA LUMPUR:
Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias berkata parti itu sebenarnya boleh ‘tebuk atap’ lebih awal bukannya ketika krisis kepimpinan apabila 14 Adun menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun, Isnin lalu.

Jalaluddin mendakwa Umno dan Barisan Nasional (BN) boleh mengetuai pentadbiran kerajaan perpaduan negeri itu selepas PRN 2023 apabila mereka menang 14 kerusi berbanding 11 oleh DAP, PKR (5), Amanah (1) yang bergabung di bawah Pakatan Harapan (PH).

Perikatan Nasional (PN) pula menang lima kerusi.

“Umno dikatakan mengkhianati perjanjian kerajaan perpaduan, tapi kalau nak ‘tebuk atap’ 2023 dah buat kerana kita ada kerusi banyak.

“Ramai orang mesej dan berkata Jalal this is your time.

“Tetapi saya menghormati keputusan pusat menubuhkan kerajaan perpaduan supaya menjaga kesejahteraan, kesinambungan dan meneruskan khidmat,” katanya berucap pada Konvensyen 80 Tahun Umno di WTCKL.

Malah tegas Adun Pertang itu, sejak penubuhan kerajaan perpaduan Negeri Sembilan, beliau selaku exco kanan membantu Aminuddin malah mempromosikan dasarnya di semua peringkat.

“Dua tahun setengah saya buat kerja, ada dengar saya mengamuk dengan Aminuddin?,” katanya menjelaskan kepada perwakilan situasi politik di Negeri Sembilan itu.

Jalaluddin turut mengulangi alasan tindakan menarik balik sokongan itu kerana kegagalan Aminuddin menguruskan sebaiknya krisis institusi perlembagaan negeri sehingga menjadi perhatian umum.

Tambahnya, Aminuddin sepatutnya bertindak sebagai orang tengah yang menghubungkan semua pihak terbabit supaya isu berbangkit dapat diselesaikan.

Beliau turut mengimbau pentadbiran Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan ketika menjadi menteri besar Negeri Sembilan ketika berdepan situasi pemecatan Undang Luak Johol pada 2016.

“Tok Mat (Mohamad) tubuhkan jawatan khas bagi meneliti segala persoalan tanpa campur tangan kerajaan negeri.

“Jawatankuasa itu bentang balik ke ke Dewan Keadilan Undang (DKU), selepas itu keputusan dibuat untuk diisytiharkan sebagai sah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.