Ada orang cuba laga saya dengan presiden Umno, dedah Tok Mat

Ada orang cuba laga saya dengan presiden Umno, dedah Tok Mat

Mohamad Hasan berkata beliau tidak melayan adu domba itu sebaliknya kekal setia bersama pimpinan Umno.

MOHAMAD HASAN ZAHID HAMIDI
Mohamad Hasan dan Zahid Hamidi mula mengemudi Umno sejak 2018.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata beliau memilih untuk terus setia bersama parti walaupun ada pihak cuba melagakannya dengan Presiden Zahid Hamidi.

Berucap pada pembukaan Konvensyen 80 Tahun Umno, Mohamad berkata pelbagai usaha dibuat untuk mencetuskan perpecahan dalam kepimpinan parti, namun beliau enggan melayan usaha itu.

“Ada orang nak lagakan saya dengan Datuk Seri (Zahid). Apa orang tak cakap pasal Datuk Seri, adu domba untuk lagakan.

“Tetapi saya butakan mata dan tenangkan jiwa untuk bersama dengan parti,” katanya yang menerima tepukan daripada pemimpin dan ahli Umno.

Mohamad berkata, pada usia 70 tahun, beliau tidak lagi mengejar kedudukan atau kerjaya politik, sebaliknya mahu menumpukan sumbangan kepada Umno dan negara.

“Saya bercakap hari ini ketika menyambut usia 70 tahun. I got nothing to lose.

“Saya bukan lagi nak cakap pasal kerjaya, tetapi hendak bagi balik sumbangan kepada parti dan negara,” katanya.

Zahid dan Mohamad mula mengemudi Umno sejak 2018 selepas PRU14 menyaksikan parti itu hilang tampuk pemerintahan di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata Umno tidak boleh berpecah dan harus bersatu untuk menjadikan parti itu kembali dominan.

“Parti yang berpecah belah akan mudah diperlakukan dan dipergunakan oleh pihak berkepentingan dari dalam dan luar.

“Ia akan menjerumuskan kita ke dalam percaturan yang akhirnya sedikit demi sedikit meminggirkan dan mengecilkan peranan kita,” katanya.

“Jangan ada anasir mahu mengadu domba dan melaga-lagakan kita antara satu sama lain.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.