Industri gesa garis panduan jelas urus kargo minyak

Industri gesa garis panduan jelas urus kargo minyak

Ketidaktentuan pasaran global tingkat risiko ketidakpadanan dokumen dan stok fizikal, kata pemain industri.

oil tanker
Pemain industri berkata isu utama ialah memastikan dokumentasi asal kekal boleh dipercayai selepas kargo dipindahkan ke dalam sistem tangki. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Ketidaktentuan pasaran minyak dunia meningkatkan keperluan kepada garis panduan lebih jelas dalam pengendalian dan dokumentasi kargo selepas dipunggah ke tangki darat, kata pemain industri.

R Jeyenderan berkata isu utama ialah memastikan dokumentasi asal kekal boleh dipercayai selepas kargo dipindahkan ke dalam sistem tangki, terutama apabila ia diagihkan ke beberapa tangki berbeza.

“Kita berurusan dengan penghantaran fizikal, jumlah yang besar serta dokumentasi rasmi.

R Jeyenderan.
R Jeyenderan.

“Justeru, apabila kargo berada dalam sistem tangki, industri perlu memastikan inventori fizikal sentiasa diselaras sepenuhnya dengan pengisytiharan asal,” kata ketua pegawai eksekutif Maritime Network Sdn Bhd itu dalam kenyataan.

Beliau berkata perkara itu semakin penting ketika pasaran minyak dunia tidak menentu, dengan margin keuntungan semakin sempit dan tekanan untuk mengoptimumkan aset kargo meningkat.

“Dalam keadaan ini, kejelasan menyeluruh amat diperlukan. Dokumentasi mesti sepadan tepat dengan produk fizikal,” katanya.

Menurut Jeyenderan, dokumentasi memainkan peranan penting dalam perdagangan minyak, termasuk urus niaga, pembiayaan dan perlindungan insurans.

Katanya, sebarang perbezaan antara rekod dan stok sebenar boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan, walaupun perbezaan itu kecil tetapi berlaku secara berulang.

“Kecekapan operasi sememangnya menjadi matlamat utama. Namun, jika ada perbezaan ketara antara dokumentasi dan kargo fizikal, ia mewujudkan risiko perlu ditangani secara serius oleh industri,” katanya.

Isu itu mendapat perhatian susulan aktiviti penghantaran di Tanjung Langsat membabitkan kargo di bawah pengisytiharan K8 yang dipunggah ke dalam sistem tangki.

Semakan terhadap dokumentasi serta rekod operasi berkaitan mendapati wujud kerumitan dalam pengurusan kargo selepas disimpan, khususnya apabila ia diagihkan ke beberapa sistem tangki berbeza.

Di peringkat tempatan, perhatian kini tertumpu kepada aspek kawal selia melibatkan kargo yang diisytiharkan di bawah rangka kerja pemindahan (transhipment) selepas proses pemunggahan, khususnya di fasiliti yang menyimpan kuantiti besar dalam tangki darat.

Perkembangan melibatkan OPEC+, selain petunjuk bahawa pengeluar utama seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) mungkin berusaha mendapatkan autonomi operasi lebih besar, telah meningkatkan jangkaan terhadap persaingan yang lebih sengit serta ketidaktentuan harga dalam industri tersebut.

Jeyenderan berkata, ketika Malaysia berusaha memperkukuh kedudukannya sebagai hab serantau bagi aktiviti maritim dan pemindahan kargo, proses pengendalian selepas pemunggahan perlu lebih jelas dan berdaya tahan.

“Tiada sebarang tuduhan salah laku dibangkitkan. Mesejnya jelas iaitu bagi memastikan sistem kekal kukuh dalam menghadapi tekanan pasaran, proses teras perlu jelas dan berdaya tahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.