LHDN kesan RM3.5 bilion pendapatan tak lapor menerusi e-Invois

LHDN kesan RM3.5 bilion pendapatan tak lapor menerusi e-Invois

Peringatan telah dikeluarkan sebagai usaha menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan sukarela.

LHDN berkata, pihaknya mengeluarkan 1.299 bilion e-Invois kepada 225,604 pembayar cukai sejak sistem itu diperkenal pada 2024. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan RM3.5 bilion pendapatan tidak dilapor susulan tindakan penguatkuasaan dan semakan audit menerusi sistem e-Invois.

LHDN dalam kenyataan, memaklumkan pihaknya mengesan ketidakpatuhan itu telah mengeluarkan peringatan sebagai usaha menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela.

“Hasilnya, seramai 38,906 pembayar cukai telah mengemukakan borang nyata cukai pendapatan (BNCP) dan melaporkan pendapatan berjumlah RM3.5 bilion, yang melibatkan RM760.7 juta cukai kena dibayar.

“Bagi pembayar cukai yang masih belum mengemukakan BNCP, LHDN akan mengambil tindakan lanjut melalui tindakan audit dan penguatkuasaan,” menurut kenyataan itu.

Bagi memperkukuh pematuhan pelaksanaan e-Invois oleh pembayar cukai, LHDN turut melaksanakan Operasi Semakan Pematuhan e-Invois Peringkat Nasional 2026 secara serentak di seluruh negara dari 20 hingga 24 April.

Menerusi operasi itu, seramai 108 pembayar cukai telah dikenal pasti masih gagal melaksanakan e-Invois di bawah Fasa 1 dan Fasa 2.

Menurut LHDN, sejak sistem itu diperkenalkan pada 1 Ogos 2024, sebanyak 225,604 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois yang melibatkan pengeluaran 1.299 bilion e-Invois secara keseluruhan, sekali gus membuktikan sokongan positif terhadap langkah pendigitalan dalam operasi perniagaan dan pengurusan rekod yang lebih teratur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.