
Menurutnya, mandat diberikan rakyat berasaskan kerangka kerajaan perpaduan yang dibentuk untuk kestabilan dan sebarang usaha membentuk kerajaan “tebuk atap” atau “pintu belakang” tidak boleh diterima sama sekali kerana bercanggah semangat kerajaan perpaduan.
Ia menyifatkan cubaan menukar kerajaan tanpa melalui proses pilihan raya “penghinaan” kepada demokrasi dan pengkhianatan terhadap kepercayaan pengundi.
“Mengubah kerajaan melalui pintu belakang tanpa kembali kepada rakyat adalah satu pengkhianatan.
“Sekiranya parti-parti berkenaan tetap berkeras mahu menggugat kestabilan, kerajaan negeri pimpinan PH wajar mempertimbangkan tindakan tegas, termasuk menamatkan kerjasama di semua peringkat pentadbiran,” katanya dalam kenyataan.
Pemuda DAP turut menggesa Pengerusi BN, Zahid Hamidi campur tangan secara bertanggungjawab bagi meredakan polemik itu.
Semalam, Zahid dilaporkan berkata, keputusan 14 Adunnya di Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Aminuddin dibuat wakil rakyat sendiri.
Tetapi, presiden Umno itu mengakui sudah dimaklumkan mengenai tindakan mereka.
Pada PRN lalu, Pakatan Harapan memenangi 17 kerusi, BN (14) dan Perikatan Nasional (5). PH dan BN kemudian membentuk kerajaan negeri dengan Aminuddin dilantik menteri besar.