Usno keluar GRS tak gugat kerajaan tapi dedah kelemahan parti, kata penganalisis

Usno keluar GRS tak gugat kerajaan tapi dedah kelemahan parti, kata penganalisis

Syahrudin Awang Ahmad berkata Usno perlu sedia naratif baharu manakala Arvin Tajari pula cadang kepimpinan lama berudur.

Pandikar Amin Mulia
Presiden Usno Pandikar Amin Mulia kalah di DUN Pintasan pada PRN Sabah tahun lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Keputusan Usno keluar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat tidak akan menggugat kedudukan kerajaan negeri, sebaliknya menyerlahkan krisis identiti dan relevanan parti itu yang terus dibayangi ‘warlord’, kata penganalisis.

Syahrudin Awang Ahmad berkata, langkah itu boleh dianggap sebagai tindakan berisiko yang mungkin membawa kepada kejatuhan parti pimpinan bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia, jika gagal membentuk identiti politik baharu dalam masa terdekat.

Katanya, dalam suasana politik Sabah kini dipenuhi pelbagai parti tempatan yang masing-masing cuba menonjolkan pengaruh, Usno berdepan ancaman untuk terus tenggelam daripada radar pengundi arus perdana.

Penganalisis dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berpandangan, tindakan Usno keluar GRS tidak akan memberi impak besar terhadap keseimbangan kuasa sedia ada dalam kerajaan negeri buat masa ini.

“Realitinya, pengaruh politik Usno dalam struktur kuasa semasa semakin mengecil berbanding parti komponen lain yang mempunyai lebih banyak kerusi.

“Namun, ruang penjenamaan semula masih wujud jika Usno mampu menawarkan naratif politik lebih segar dan relevan kepada rakyat,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Pandikar berkata Usno keluar GRS kerana sudah tidak wujud keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan khususnya selepas PRN Sabah.

Pada pilihan raya itu, Pandikar kalah di pintasan manakala isterinya, Diana Diego gagal dalam cubaan merampas DUN Sekong daripada Warisan.

Arvin Tajari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula membayangkan, kesukaran Usno terutama dalam meraih sokongan orang muda selagi masih dibayangi ‘warlord’ dan amalan dinasti dalam kepimpinan parti.

“Usaha menghidupkan Usno memerlukan kepimpinan lama berundur dan melantik generasi pelapis yang lebih segar supaya ia lebih relevan dalam politik Sabah,” katanya.

Mengenai hala tuju Usno, Syahrudin berkata parti itu masih mempunyai beberapa pilihan strategik termasuk bekerjasama dengan blok nasional seperti Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) selain membentuk pakatan baharu dengan parti kecil lain atau bergerak secara solo.

Namun, Arvin lebih skeptikal terhadap kemungkinan kerjasama dengan BN atau PN, yang menurutnya boleh terus menjarakkan Usno daripada pengundi Sabah.

“Situasi dan laluan yang agak sukar bagi Usno selepas keluar GRS. Sekurang-kurangnya bersama GRS, Usno boleh secara perlahan membawa agenda mereka dan bangkit sebagai parti lokal.

“Membuat pakatan dengan BN atau PN akan menjadikan Usno terus ditolak oleh pengundi Sabah…dan langkah perlu dibuat sebelum menghadapi PRU adalah mengubah struktur kepimpinan lebih ke depan dalam isu berkaitan Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.