Sultan perkenan Sukma Selangor diteruskan secara berjimat, kata KBS

Sultan perkenan Sukma Selangor diteruskan secara berjimat, kata KBS

Sebelum ini Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan penganjuran temasya sukan itu ditangguh sehingga krisis di Asia Barat selesai.

sultan selangor
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah beri perkenan supaya Sukma Selangor kekal dilangsungkan dari 15 hingga 24 Ogos dengan langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026 oleh Selangor akan diteruskan setelah mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkata, Sultan Selangor memberi perkenan itu setelah menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu.

“Baginda memberi perkenan supaya Sukma Selangor kekal dilangsungkan dari 15 hingga 24 Ogos dengan langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemat,” menurut Bernama.

Menteri Belia dan Sukan Dr Taufiq Johari dalam kenyataan sama , menjunjung kasih atas perkenan Sultan Selangor dan berterima kasih kepada perdana menteri yang meletakkan kepentingan atlet muda negara sebagai keutamaan ketika memutuskan Sukma 2026 diteruskan.

“Atlet muda wajar terus diberi peluang bertanding pada peringkat tertinggi. Tambahan pula Sukma 2026 antara medan pemilihan dan persiapan atlet muda bagi membawa cabaran negara pada temasya Sukan SEA yang akan berlangsung di negara kita pada tahun hadapan,” katanya.

Taufiq berkata, beliau telah berbincang keputusan itu dengan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang menjanjikan kerjasama erat kerajaan negeri demi memastikan penganjuran temasya sukan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau juga memaklumkan telah menerima perkenan untuk menghadap Sultan Sharafuddin yang dijadualkan pada Rabu ini bersama-sama exco belia, sukan dan keusahawanan Selangor untuk memaklumkan perkembangan perancangan terkini berhubung penganjurannya.

Beliau berkata, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada Khamis ini akan dimanfaatkan Sekretariat SUKMA Selangor 2026 untuk membentangkan status terkini persiapan terutama langkah penjimatan yang akan dilaksanakan selaras dengan perkenan Sultan Sharafuddin.

Taufiq berkata, sebarang maklumat tambahan berkenaan Sukma Selangor 2026 akan dimaklumkan selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma itu.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin bertitah penganjuran Sukma Selangor 2026 wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan sehingga pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.