
Azizulhasni yang mencipta sensasi merangkul emas keirin semalam, tidak berdepan masalah menewaskan Atlet Neutral Individu (AIN) Nikita Kiriltsev dalam penentuan gangsa, sekali gus mengesahkan kedudukan podium.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2020 itu terlebih dahulu mempamerkan kayuhan meyakinkan apabila menewaskan Huang Ruiting dari China pada pusingan 1/8 sebelum meneruskan rentak cemerlang dengan menyingkirkan Dominik Topinka dari Republik Czech pada suku akhir.
Cabaran atlet berusia 38 tahun itu bagaimanapun terhenti dalam saingan separuh akhir selepas tewas kepada Nicholas Paul dari Trinidad dan Tobago.
Sepanjang tiga perlumbaan itu, Azizulhasni memenangi perlumbaan pertama, namun Paul bangkit menguasai perlumbaan kedua sebelum memastikan kemenangan pada aksi penentuan untuk mara ke final.
Pingat emas acara itu dimenangi juara dunia Harrie Lavreysen dari Belanda, sekali gus mengubati kekecewaan meraih perak dalam acara keirin manakala Paul terpaksa berpuas hati dengan perak.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom tersingkir pada pusingan 1/8 selepas tewas kepada Mattia Predomo dari Itali.
Sebagai rekod, Azizulhasni turut merangkul gangsa pecut individu lelaki pada siri Piala Dunia di Perth, Australia Mac lalu.
Dalam pada itu, hasrat pelumba berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri untuk mara ke final acara keirin tidak kesampaian selepas terkandas pada separuh akhir sebelum mengakhiri cabaran di tempat ke-11 dalam saingan tempat ketujuh hingga ke-12.
Seorang lagi wakil negara Nur Alyssa Mohd Farid terkandas pada pusingan kedua.
Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 selama tiga hari itu akan menutup tirainya hari ini.