Exco kecam suntingan gambar babi mengaitkan Sultan Selangor

Exco kecam suntingan gambar babi mengaitkan Sultan Selangor

Ng Sze Han seru pesalah dihukum dengan hukuman berat berlandaskan undang-undang.

Exco Ng Sze Han kecam hantaran media sosial yang tidak beradab dan satu cubaan yang mampu mendatangkan kacau bilau. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Exco Ng Sze Han mengecam sekeras-kerasnya hantaran media sosial yang menyunting gambar babi mengenakan pakaian istiadat Istana dan mengaitkannya dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ng berkata tindakan itu tidak beradab, melanggar norma serta tata susila, dan satu cubaan yang mampu mendatangkan kacau bilau.

“Saya menyeru polis untuk mengambil tindakan segera supaya pesalah ini dapat dihukum dengan hukuman yang berat berlandaskan undang-undang,” menurut kenyataan.

Exco pelaburan, perdagangan dan mobiliti itu mengajak orang ramai mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau gambaran yang menghina dan menjatuhkan maruah mana-mana pihak.

Beliau mengingatkan bahawa kata-kata atau gambaran sedemikian berupaya memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian rakyat.

Pada 10 Feb lalu, Sultan Selangor menzahirkan pendirian tidak berkenan jika ada mana-mana kawasan dijadikan tempat penternakan babi.

Lantaran kontroversi menyusuli kenyataan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki berhubung penternakan babi secara moden, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menyangkal tuduhan bahawa partinya tidak menghormati institusi diraja.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Fahmi Ngah mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja itu.

Beliau berkata, kandungan berbentuk suntingan gambar yang cuba mengaitkan Sultan Sharafuddin dengan unsur tidak benar adalah perbuatan tidak beradab dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Tuanku sentiasa menjadi payung negeri, pelindung kesucian agama Islam serta lambang perpaduan dan kestabilan rakyat Selangor. Sebarang cubaan mencemarkan nama baik institusi diraja amat dikesali,” katanya dalam kenyataan.

Adun Seri Setia itu berkata, tindakan tersebut bukan sahaja melanggar norma masyarakat, malah penggunaan akaun palsu untuk menyebarkan kandungan berunsur fitnah disifatkan sebagai perbuatan bacul yang boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Sehubungan itu, beliau menggesa polis menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat.

Dalam masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut diseru mempertingkat pemantauan serta mengambil tindakan menyekat dan menurunkan kandungan berunsur penghinaan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.