
Ketua pengarah pilihan raya PAS itu berkata, jumlah kerusi mahu ditandingi dianggap realistik susulan kemenangan di Parlimen Jasin dan Tangga Batu.
“Apabila kita terjemahkan undi Parlimen kepada DUN, kita dapati ada ruang yang sangat munasabah untuk PAS menang. Ini memberi keyakinan bahawa kita bukan sekadar bertanding, tetapi berupaya memberi saingan serius.
“Pilihan raya bukan hanya soal angka tetapi juga gerak kerja di peringkat akar umbi. Jika jentera bergerak dengan tersusun dan sokongan rakyat kekal, peluang itu boleh direalisasikan,” katanya memetik Utusan Malaysia.
Sanusi berkata, analisis undi kerusi Parlimen yang dipadankan dengan DUN menunjukkan ada beberapa kerusi berpotensi menang, sekiranya momentum sokongan dapat dikekalkan.
“PAS telah berjaya menembusi tembok-tembok besar yang sebelum ini sukar ditembusi seperti Bandaraya Alor Setar, sekali gus membuka peluang untuk parti ini melangkah lebih jauh terutama di Melaka nanti.”
Katanya, PAS kini memberi tumpuan kepada pengukuhan strategi di kawasan sasaran termasuk meningkatkan kehadiran di lapangan dan mendekati pengundi secara berterusan.
“Momentum sudah ada. Sekarang kita perlu gandakan usaha supaya peluang ini diterjemahkan kepada kemenangan sebenar dalam PRN nanti,” katanya.