Loke kecam Adun Kelantan ‘tak bertanggungjawab’ anjur konvoi motosikal

Loke kecam Adun Kelantan ‘tak bertanggungjawab’ anjur konvoi motosikal

Menteri pengangkutan berkata lapangan terbang adalah kawasan strategik dan keselamatan perlu dipelihara bagi memastikan perjalanan penumpang lancar.

Loke Siew Fook
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook arah JPJ bekerjasama polis trafik mengadakan sekatan jalan raya petang ini dan memeriksa semua motosikal memasuki kawasan lapangan terbang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, mengecam konvoi motosikal anjuran beberapa Adun Kelantan yang akan melalui Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, dengan menyifatkan tindakan itu sangat tidak bertanggungjawab.

Katanya, lapangan terbang adalah kawasan strategik dan keselamatan yang perlu dipelihara sepanjang masa untuk memastikan perjalanan penumpang lancar dan tidak terganggu.

“Sekiranya terdapat sebarang kesesakan yang menyebabkan penumpang terlepas penerbangan, adakah pihak penganjur bertanggungjawab untuk membayar pampasan tiket penerbangan mereka?” katanya di Facebook.

Loke turut mempersoalkan sama ada penganjur memperoleh kelulusan untuk konvoi itu.

“Sebarang konvoi bermotor juga sepatutnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa,” katanya.

poster konvoi motor yb
Berdasarkan poster konvoi dijadualkan bermula 5 petang anjuran beberapa Adun dan Pemuda PAS Kelantan. (Gambar Facebook)

Justeru, Loke mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bekerjasama dengan polis trafik mengadakan sekatan jalan raya petang ini dan memeriksa semua motosikal memasuki kawasan lapangan terbang tanpa pengecualian termasuk wakil rakyat yang menyertai konvoi itu.

Berdasarkan poster dikongsi Loke, konvoi dijadualkan bermula 5 petang dianjurkan beberapa Adun dan Pemuda PAS Kelantan.

Konvoi itu dijangka berlepas dari Kota Lama, melalui kawasan lapangan terbang dan pusat bandar, sebelum berakhir berhampiran pusat beli-belah Aeon Mall Kota Bharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.