KP baharu sesuai nakhoda SPRM, kata Anwar

KP baharu sesuai nakhoda SPRM, kata Anwar

Perdana menteri berkata latar belakang Abdul Halim Aman dalam bidang kehakiman dan tidak terlibat mana-mana perniagaan atau parti politik menjadikannya individu tepat.

halim
Abdul Halim Aman dinamakan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM baharu menggantikan Azam Baki akan memulakan tugas di pada 13 Mei.
BUKIT MERTAJAM:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyambut baik pelantikan bekas hakim Mahkamah Tinggi, Abdul Halim Aman, sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu.

“Beliau dari badan kehakiman dan tidak terlibat dalam apa apa perniagaan besar dan sebagainya…apa apa parti politik.

“Jadi, saya fikir sesuai menahkodai SPRM dan terus meningkatkan keupayaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan NADI Kubang Semang di Yayasan Aman.

Halim, 69, akan menggantikan Azam yang tempoh perkhidmatannya berakhir pada 12 Mei selepas tiga pelanjutan bagi tempoh setahun berturut-turut, sejak pelantikannya pada Mac 2020.

Berpengalaman dalam kehakiman lebih dua dekad, Halim dilantik pesuruhjaya kehakiman pada 2005, berkhidmat di Temerloh dan Kuantan sebelum dinaikkan pangkat ke Mahkamah Tinggi pada 2007. Beliau kemudiannya berkhidmat di Pulau Pinang, Johor Bahru, dan Shah Alam sebelum bersara pada 2023.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Gobind Singh Deo menyeru Halim mengutamakan usaha memulihkan keyakinan orang ramai terhadap SPRM apabila mula tugas pada 13 Mei.

Gobind, yang juga menteri digital, berkata ketua yang bakal dilantik itu mesti menggariskan pelan jelas hala tuju reformasi bagi melindungi kebebasan agensi antirasuah itu dan mencegah salah guna kuasa.

Beliau berkata, ini termasuk menangani dakwaan mengenai SPRM yang memanipulasi pengambilalihan korporat dan kontroversi pegangan saham melibatkan Azam.

“Dakwaan serius ini memberi kesan kepada integriti dan kredibiliti SPRM. Ia mesti ditangani tanpa rasa takut, pilih kasih, atau penangguhan, dengan garis masa jelas ditetapkan untuk menyelesaikan proses ini,” katanya dalam kenyataan.

Mengenai isu pegangan saham, Ahli Parlimen Damansara itu berkata ia masih belum selesai meskipun arahan Kabinet telah dikeluarkan lebih sebulan lalu.

Beliau berkata, penangguhan itu tidak boleh berterusan selama-lamanya dan menggesa perkara tersebut dimuktamadkan segera.

Gobind berkata, langkah awal diambil oleh Halim akan menentukan hala tuju kepimpinannya, sambil menegaskan kebertanggungjawaban dan ketelusan menjadi kunci utama memulihkan kepercayaan terhadap SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.