
Halim, 69, akan menggantikan Azam Baki, yang tempoh perkhidmatannya tamat pada 12 Mei selepas menjawat jawatan itu bermula Mac 2020.
Beliau berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kehakiman, bermula dengan pelantikan sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2005, berkhidmat di Temerloh dan Kuantan.
Pada 2007, Halim dinaikkan ke Mahkamah Tinggi dan berkhidmat di Pulau Pinang, Johor Bahru serta Shah Alam, sebelum bersara pada 2023.
Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, berkata pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras Subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009.
Katanya, cadangan pelantikan itu sebelum ini dipersembahkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada Agong.
“Kerajaan yakin dengan pengalaman luas serta integriti yang tinggi, beliau akan mampu memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus, meningkatkan keyakinan rakyat serta memperhebat pembanterasan rasuah demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Anwar berkata nama ketua pesuruhjaya SPRM yang baharu akan diumumkan susulan pertemuan bersama Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan beberapa pihak lain menggesa kerajaan tidak melanjutkan kontrak Azam susulan dakwaan terhadapnya dalam laporan Bloomberg, pada Februari.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan juga mendedahkan Anwar memberi jaminan kepadanya kontrak Azam tidak akan disambung.
Kontrak Azam dilanjutkan tiga kali sejak memegang jawatan pada Mac 2020, dengan lanjutan setahun diberikan pada Mei 2023, Mei 2024, dan Mei 2025.
Semalam, Sultan Ibrahim bertitah baginda akan menentukan calon terbaik untuk dilantik ketua pesuruhjaya baharu SPRM.
Baginda bertitah, pelantikan itu akan dibuat dengan mengambil kira kepentingan institusi berkenaan dalam memastikan usaha membanteras rasuah terus berkesan sambil menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara itu.