DUN Selangor kecoh, pembangkang kemuka usul rujuk Wong ke JK Hak dan Kebebasan

DUN Selangor kecoh, pembangkang kemuka usul rujuk Wong ke JK Hak dan Kebebasan

Afif Bahardin (PN-Taman Medan) memaklumkan telah menghantar usul berkenaan.

Afif Bahardin (PN-Taman Medan) cuba mengemukakan usul pada sidang DUN Selangor untuk merujuk Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung isu penternakan babi di negeri itu.
SHAH ALAM:
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kecoh seketika apabila seorang wakil pembangkang cuba mengemukakan usul untuk merujuk Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung isu penternakan babi di negeri itu.

Afif Bahardin (PN-Taman Medan) berkata beliau telah menghantar usul itu kepada Setiausaha Dewan pada sebelah pagi dan memohon Speaker Lau Weng San meneliti perkara berkenaan.

“Pagi ini saya telah menghantar satu usul kepada Dewan ini melalui Setiausaha Dewan untuk merujuk Yang Berhormat Seri Kembangan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya ketika mencelah sesi sambungan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor.

Bagaimanapun, Lau memaklumkan beliau belum menerima dan meneliti kandungan usul tersebut, justeru tidak dapat membuat sebarang keputusan serta-merta.

Lau turut menegaskan Afif tidak boleh menggunakan Peraturan Tetap untuk mengambil peluang berbahas sebelum usul itu diteliti secara rasmi.

Ketegangan memuncak apabila beberapa Adun iaitu Adun Gombak Setia Hilman Idham termasuk Ketua Pembangkang Azmin Ali terus bangun mencelah, menyebabkan Speaker berulang kali mengarahkan mereka duduk dan tidak mengganggu perjalanan sidang.

“Yang Berhormat Taman Medan duduk. Ini bukan masa untuk perbahasan. Saya kata saya akan semak, cukup setakat itu,” tegas Lau.

Beliau turut memberi amaran kepada Afif selepas wakil rakyat pembangkang itu terus mendesak penjelasan berhubung status usul berkenaan.

Semalam Wong ketika membahaskan titah Sultan Selangor menyembah maklum bahawa isu penternakan babi menyentuh hak kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

Wong berhujah bahawa penternakan babi tidak seharusnya dibezakan dengan haiwan lain kerana risiko pencemaran, aspek kebersihan, dan kesihatan adalah serupa merentasi semua jenis penternakan.

Dia turut melahirkan rasa dukacita kerana isu tersebut didakwanya telah dipolitikkan oleh pelbagai pihak, termasuk bekas ahli politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.