
Ketua Polis Cheras Mohd Rosdi Daud berkata mangsa berusia 36 tahun itu ditemui dalam serbuan kira-kira 9 malam, 17 April lalu.
“Siasatan awal mendapati mangsa dijadikan ‘penjamin’ kepada rakannya yang berhutang judi sebanyak RM100,000.
“Apabila rakannya melarikan diri, mangsa dikurung oleh suspek sebagai tekanan untuk melangsaikan hutang tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 30 tahun di lokasi kejadian.
Turut dirampas ialah beberapa barangan termasuk kunci rumah, kad akses dan dua telefon bimbit.
Rosdi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana kurungan salah.
“Kedua-dua suspek direman selama tiga hari, manakala usaha mengesan dalang utama yang masih bebas sedang giat dijalankan,” katanya.