Lelaki warga emas maut dilibas penyamun

Lelaki warga emas maut dilibas penyamun

Mangsa berusia 69 tahun dipercayai dilibas dengan parang di tangan kanan dan tapak tangan kiri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

garisan polis
Mangsa yang disamun meninggal dunia akibat dilibas dengan senjata tajam dalam kejadian di Pekan Baru, Teluk Intan, hari ini.
PETALING JAYA:
Lelaki warga emas maut selepas dilibas senjata tajam dipercayai parang oleh sekumpulan penyamun dalam kejadian di Pekan Baru, Teluk Intan, hari ini.

Ketua Polis Hilir Perak, Chua Kok Lian, berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar 6.02 pagi ketika isteri mangsa berada di halaman rumah untuk persiapan sembahyang manakala mangsa berehat di dalam.

Katanya, tiga lelaki bertopeng dipercayai memanjat tembok hadapan sebelum menyerbu masuk ke dalam kediaman mangsa dan mengugutnya bagi mendapatkan barang kemas.

“Mangsa berusia 69 tahun mengalami kecederaan parah akibat dilibas dengan senjata tajam dipercayai parang di tangan kanan dan tapak tangan kiri sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Semua suspek melarikan diri sejurus kejadian bersama barang kemas dan wang tunai milik mangsa. Jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, polis giat mengesan tiga suspek lelaki dipercayai berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau di talian 05 6222222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.