KJ sesuai di kerusi bandar dan separa bandar, kata penganalisis

KJ sesuai di kerusi bandar dan separa bandar, kata penganalisis

Imej Khairy Jamaluddin sebagai ahli politik yang 'agak progresif' meningkatkan potensi boleh menang.

KHAIRY JAMALUDDIN-GPRCFMY
Khairy Jamaluddin mewakili rakyat Parlimen Rembau dari 2008 hingga 2022.
PETALING JAYA:
Penganalisis percaya kerusi bandar dan separa bandar paling sesuai buat Khairy Jamaluddin, sekiranya bekas Ahli Parlimen itu terpilih sebagai calon pada pilihan raya akan datang.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata Khairy mampu meraih sokongan di kawasan Melayu dan campuran, berdasarkan prestasi bekas ketua Pemuda Umno itu pada pilihan raya lalu.

Khairy mewakili rakyat Parlimen Rembau dari 2008 hingga 2022. Pada PRU15, Umno meletakkan Khairy di Parlimen Sungai Buloh, yang menyaksikan beliau tewas namun dengan perbezaan kecil. Khairy meraih 48,250 undi berbanding calon Pakatan Harapan (50,943), calon Perikatan Nasional (29,060) serta empat pihak lain.

Mazlan berkata imej Khairy sebagai ahli politik yang ‘agak progresif’ meningkatkan potensi boleh menang.

“Khairy ini sesuai bertanding di kawasan banyak ‘Melayu progresif’ atau campuran. Lihat saja pada PRU lalu, beliau hampir mengalahkan Ramanan Ramakrishnan di Sungai Buloh,” katanya kepada FMT.

Kerusi paling sesuai ditandingi Khairy Jamaluddin terus diperkatakan meskipun bekas ketua Pemuda itu berkata masih terlalu awal untuk membincangkan perkara itu.

Kelmarin, beliau menolak khabar angin akan bertanding di Kepala Batas, Pulau Pinang yang pernah digalas bapa mentuanya, Abdullah Ahmad Badawi. Parlimen Rembau sekarang disandang Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, manakala Ramanan kini naib presiden PKR — yang dijangka akan mempertahankan kerusi tersebut sekiranya Barisan Nasional dan PH bekerjasama pada PRU akan datang.

Sejak kekalahan lalu, Khairy mengekalkan populariti dalam kalangan masyarakat sebagai penyampai radio dan pengacara audio siar ‘Keluar Sekejap’.

“Kita tahu kekuatan beliau lebih terserlah di kawasan bandar dan campuran,” kata Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Ramai yang selalu menyebut bahawa Khairy mempunyai tarikan tersendiri yang dilihat lebih nasional dan moderat, serta berupaya merentas garis parti,” tambahnya.

Menepis pertanyaan media berhubung kerusi yang mahu ditandingi, Khairy memaklumkan bahawa beliau memohon untuk kembali sebagai ahli Umno Sungai Buloh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.