
Permohonan itu difailkan oleh firma guaman Shafee & Co minggu lalu di bawah Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Kaedah 7A Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.
‘Bukti baharu’ merujuk kepada maklumat yang ditemui selepas sesuatu perbicaraan selesai. Ia mesti memenuhi beberapa syarat ketat yang ditetapkan dalam kes Ladd v Marshall, sebelum boleh dirujuk dalam rayuan.
Najib, 73, mahu bukti baharu berkaitan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, serta bekas penasihat undang-undang 1MDB Jasmine Loo dibawa ke mahkamah dalam pendengaran rayuannya.
Ketika dihubungi FMT, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan beliau mengetahui mengenai perkara itu.
Jho Low tidak dipanggil pihak pendakwaan untuk memberi keterangan dalam kes tersebut, manakala Jasmine Loo, yang dianggap saksi utama pendakwaan, telah melalui soal balas oleh pihak pembelaan.
Mahkamah Rayuan masih belum menetapkan tarikh pendengaran rayuan Najib kerana kedua-dua pihak masih menunggu alasan penghakiman bertulis daripada hakim Mahkamah Persekutuan Collin Lawrence Sequerah, yang mengendalikan perbicaraan itu.
Pada 26 Disember, Sequerah yang ketika itu bersidang sebagai hakim Mahkamah Tinggi, mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.
Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.387 bilion selepas mahkamah mendapati beliau bersalah atas semua pertuduhan.
Sequerah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula pada 2028 selepas Najib menamatkan hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Sequerah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan Najib membayar jumlah boleh dituntut semula sebanyak RM2.08 bilion.
Pada Januari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman Najib dalam kes SRC dengan memendekkan tempoh penjara kepada separuh serta menurunkan dendanya kepada RM50 juta. Hukuman itu dijadualkan tamat pada 23 Ogos 2028.