Isu halal: Tiada keperluan tarik lesen perniagaan 2 syarikat di Melaka

Isu halal: Tiada keperluan tarik lesen perniagaan 2 syarikat di Melaka

Exco Melaka Rais Yasin berkata tindakan terhadap pelanggaran prosedur dan syarat SPHM diambil oleh Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Sebelum ini media melaporkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia syarikat terbabit ditarik serta-merta selepas didapati menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi dalam kerja pembersihan peralatan.
MELAKA:
Tiada keperluan untuk menarik lesen perniagaan dua syarikat pengeluar makanan dan minuman di Melaka yang ditarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kerana menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi untuk kerja pembersihan peralatan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Rais Yasin, berkata ini kerana kedua-dua syarikat berkenaan tidak dikesan melanggar syarat lesen perniagaan dikeluarkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Beliau berkata, sebagai tambahan, tindakan terhadap pelanggaran prosedur dan syarat SPHM telah diambil oleh Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

“Setakat ini, MBMB tidak menerima sebarang laporan atau aduan berkaitan pelanggaran syarat lesen perniagaan melibatkan kedua-dua syarikat itu.

“Bagaimanapun, sebagai umat Islam, kami melahirkan rasa dukacita dengan insiden yang berlaku dan berharap ia tidak berlaku di mana-mana premis perniagaan lain,” katanya selepas Majlis Santuni Kasih Aidilfitri sempena Sambutan Ulang Tahun ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah, malam tadi.

Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Shadan Othman.

Sebelum ini, media melaporkan SPHM dua syarikat, iaitu masing-masing pengeluar kopi dan biskut di negeri itu ditarik balik serta-merta selepas didapati menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi dalam kerja pembersihan peralatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.