
Penyelesaian itu direkodkan sebagai penghakiman persetujuan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, hari ini.
Peguam Fahmi, Asheeq Ali Sethi Alivi, berkata Fauzan mengakui ucapan Fahmi di sebuah masjid di Rawang, Selangor, pada 30 Julai 2023 semasa tempoh PRN bukan satu kempen politik mahupun bermotifkan politik.
“Defendan selanjutnya mengakui bahawa Fahmi sekadar menjawab soalan diajukan di masjid itu mengenai kontroversi menyelubungi kumpulan The 1975, yang menjadi isu ketika PRN Selangor pada 2023.
“Defendan turut meluahkan rasa kesal berhubung satu hantaran Facebook bertarikh 31 Julai 2023 mengulas mengenai perkara tersebut, yang menjadi asas kepada saman ini,” katanya.
Terdahulu, seorang lagi peguam Fahmi, Fahri Azzat, memaklumkan kepada mahkamah kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perkara itu secara baik.
Mengikut terma penghakiman persetujuan tersebut, tiada pihak boleh menerbitkan kenyataan itu sepenuhnya. Bagaimanapun, kedua-dua pihak boleh mengulas mengenai penyelesaian tersebut, dengan syarat kenyataan itu selari dengan intipati penyelesaian.
Mereka juga bersetuju untuk tidak mengulangi atau menerbitkan semula sebarang kenyataan fitnah yang menjadi asas kepada saman itu.
Pihak-pihak terbabit selanjutnya bersetuju bahawa mereka tiada tuntutan lanjut terhadap satu sama lain berbangkit daripada pertikaian itu, dan saman tersebut ditarik balik oleh plaintif tanpa perintah mengenai kos.
Kes itu berpunca daripada dakwaan pada 2023 bahawa Fahmi berkempen politik di sebuah masjid. Beliau menafikan dakwaan tersebut, menegaskan ia berunsur fitnah serta menjejaskan reputasinya.
Peguam Fauzan, Zamri Ibrahim, turut memberitahu media kedua-dua pihak bersetuju Fahmi tidak menyampaikan ucapan politik ketika itu.
Fauzan pernah bertanding kerusi DUN Kuang pada PRU 2018 atas tiket PAS, namun kalah kepada calon Pakatan Harapan Sallehudin Amiruddin dalam pertandingan empat penjuru.
Penyelesaian turut dicapai dengan seorang lagi defendan, pempengaruh politik Wan Azri Wan Deris, berhubung dakwaan yang sama.
Asheeq memberitahu pihak media, Wan Azri telah mengakui ucapan Fahmi di masjid itu bukanlah satu kempen politik mahupun bersifat politik.
Beliau berkata, pengakuan itu dibuat selepas Wan Azri meneliti penjelasan lanjut dan kenyataan daripada pihak berkuasa, seperti yang dilaporkan oleh media.
“Sebarang isu yang timbul, hasil salah faham yang tidak sepatutnya berlaku dari mula, dan kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan selain daripada apa yang digariskan dalam kenyataan yang dipersetujui ini,” katanya.
Bagaimanapun, saman terhadap defendan ketiga, penceramah Dusuki Rani, akan diteruskan kerana tiada penyelesaian dicapai antara kedua-dua pihak.
Fahmi dijadualkan memberi keterangan esok.
Peguam Logen Iskandar Abdullah dan Norfazilah Jaafar mewakili Wan Azri, manakala Jamil Yaacob dan Kamaruzaman Jusoh mewakili Dusuki.
Iqbal Harith Leang turut tampil bagi pihak Fahmi.