
“Sehingga hari ini, tiada petunjuk bahawa beliau telah menyertai mana-mana parti dalam PN.
“Sesiapa yang mahu berada dalam PN mestilah berada dalam salah satu daripada empat parti,” katanya yang dipetik Berita Harian sebagai berkata.
PN merupakan gabungan yang terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Takiyuddin, yang juga setiausaha agung PAS, berkata Hamzah juga tidak memohon untuk menyertai PAS.
Terdahulu hari ini, Hamzah menegaskan beliau tidak akan meninggalkan PN dalam perjuangan politiknya pada masa ini, walaupun telah dipecat Bersatu.
Hamzah yang membayangkan penyertaan ke ‘rumah baharu’ dalam masa terdekat berkata ia tidak semestinya merujuk kepada penubuhan parti baharu sebaliknya boleh membabitkan penyertaan dalam parti sedia ada.
Malah beliau tidak menolak kemungkinan PAS mungkin menjadi ‘rumah baharunya’.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu dalam krisis kepimpinan parti itu terutama membabitkan desakan supaya Presiden Muhyiddin Yassin meletak jawatan.
Sebelum ini, Muhyiddin berkata beliau akan menolak sekiranya Hamzah bersama parti baharunya ingin bekerjasama dengan PN.