
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata projek jangka panjang itu menjadi langkah strategik dalam mendepani cabaran krisis tenaga dunia, khususnya susulan ketegangan geopolitik yang memberi kesan kepada rantaian bekalan tenaga.
Katanya, konflik tercetus antara Amerika Syarikat dan Iran menyebabkan gangguan serius di Selat Hormuz yang merupakan nadi utama penghantaran tenaga dunia.
“Selat ini mengendalikan kira-kira 20% bekalan minyak dan gas global, maka sebarang ketidakstabilan di sana mencetuskan kesan rantaian yang amat besar terhadap pasaran tenaga antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek itu, semalam.
Majlis turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh.
Loji yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang 2029 itu akan dibina di atas kawasan seluas 9.8 ekar dengan tempoh konsesi selama 34 tahun termasuk tiga tahun pembinaan.
Apabila siap kelak, ia berupaya memproses sehingga 1,000 tan sisa pepejal setiap hari dan menjana sehingga 22 megawatt tenaga elektrik.
Nga berkata, projek itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal, malah menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon secara signifikan.
Beliau berkata, teknologi WtE mampu mengurangkan sehingga 85% sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, manakala baki 15% boleh dimanfaatkan semula melalui pendekatan ekonomi kitaran.
“Pelaksanaan projek ini dijangka mengurangkan lebih 259,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun, bersamaan pelepasan kira-kira 56,000 kenderaan,” katanya.
Pada masa sama, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara merancang membina 18 loji WtE di seluruh negara yang dijangka menjana sehingga 600 megawatt tenaga boleh diperbaharui menjelang 2040.
Inisiatif itu selaras sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk mencapai 70% kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050, selain mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa pengurusan sisa secara mampan dan berteknologi hijau.
Sementara itu, Rauf berkata projek berkenaan mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkasa penggunaan teknologi hijau sebagai pemangkin pembangunan Melaka ke arah negeri bersih, hijau dan mampan.
Projek itu dibangunkan melalui model inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dengan Malakoff sebagai pelabur strategik utama, sekali gus memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam pengurusan sisa pepejal negara.
Sebagai langkah interim, kerajaan turut melaksanakan pembinaan sel baharu di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Udang dengan kos RM48.5 juta bagi memastikan pengurusan sisa di Melaka kekal teratur sementara menunggu loji WtE siap sepenuhnya.