
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Fairuz Isa, berkata sidang DUN itu penting demi memastikan ketelusan, keadilan dan kestabilan kerajaan negeri terus terpelihara.
“DUN wajar dibuka segera bagi memberi ruang kepada semua Adun berbahas secara telus, matang dan demokratik berhubung perkembangan politik serta isu perundangan semasa yang semakin membimbangkan rakyat,” katanya dalam kenyataan.
“Sidang DUN yang terbuka amat penting sebagai platform rasmi bagi meneliti kedudukan sebenar pentadbiran negeri, mempertahankan keluhuran Perlembagaan serta memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan undang-undang dan kepentingan rakyat.”
Beliau berkata, sebarang usaha menangguhkan perbahasan hanya akan menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran.
“Justeru, menteri besar perlu bertindak segera dengan penuh tanggungjawab demi memelihara kestabilan politik negeri dan menjunjung prinsip demokrasi berparlimen.”
Bulan lalu, Speaker DUN, MK Ibrahim Abd Rahman dilaporkan berkata, sidang DUN yang dijadualkan bermula 27 April lalu ditangguhkan susulan perkembangan politik semasa.
Semua 14 Adun Barisan Nasional-Umno menarik balik sokongan kepada Menteri Besar, Aminuddin Harun atas alasan hilang keyakinan terhadapnya.
Ketua Umno Negeri, Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, keputusan itu susulan krisis berterusan membabitkan empat Undang dikatakan cuba menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Aminuddin yang juga ketua PKR negeri berkata, beliau akan menerajui kerajaan minoriti sehingga keputusan muktamad dibuat berhubung kemelut politik semasa.
Dengan penarikan sokongan Umno itu, beliau hanya mempunyai sokongan 17 Adun Pakatan Harapan dalam DUN 36 kerusi.