
Tegas Hajiji, pemimpin negara itu tidak seharusnya menjadikan tuntutan Sabah sebagai isu kerana kedudukan negeri itu di bawah Malaysia diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, Sabah merupakan negeri berdaulat.
“Selalu di sana itu (Filipina), kalau dekat-dekat pilihan raya senat mereka, timbullah isu seumpama ini. Tapi, jelas daripada awal lagi negeri Sabah, rakyatnya sudah membuat keputusan untuk bersama-sama Malaysia.
“Ini tidak boleh dipersoalkan lagi, kita adalah negeri yang berdaulat dalam Malaysia, diiktiraf oleh PBB.
“Apa lagi cerita mereka, ini sesuatu yang perlu diperbetulkan, tidak boleh diwar-warkan ataupun dijadikan isu, terutama di pihak sebelah sana (Filipina),” katanya menurut Berita Harian pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri di Kota Kinabalu.
Hajiji berkata demikian mengulas kenyataan Senator Filipina, Robin Padilla yang antara lain menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah, termasuk mencadangkan penghantaran wakil sebagai simbol tindakan.
Gesaan itu dikaitkan dengan kedudukan Sabah sebagai sumber minyak ketika negara itu kini berdepan krisis tenaga kesan perang di Asia Barat.