
Beliau berkata, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar telah memaklumkan kepada Kabinet sekitar 155,000 penjawat awam mendaftar untuk BDR.
“Sejak 15 April sehingga semalam, kita menganggarkan penjimatan sebanyak 334,000 liter minyak, bersamaan kira-kira RM678,000,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Kabinet.
Fahmi berkata, Shamsul telah ditugaskan untuk mendapatkan data mengenai BDR dalam sektor swasta bagi menilai keseluruhan penjimatan dengan lebih baik.
Menurut Kementerian Kewangan, Malaysia menggunakan kira-kira 700,000 tong minyak sehari, dua kali ganda berbanding 350,000 tong dihasilkan negara setiap hari.
Satu tong minyak mengandungi kira-kira 159 liter.
Fahmi, yang juga menteri komunikasi, berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan menteri untuk memastikan agensi masing-masing mengambil langkah penjimatan tenaga, termasuk mengadakan lebih banyak mesyuarat secara dalam talian dan mengurangkan penglibatan secara bersemuka.
“Perdana menteri juga menegaskan agar dikurangkan program dan lawatan ke luar negara, sambil mengutamakan premis kerajaan untuk bengkel dan program latihan,” katanya.