50% bekalan minyak Malaysia lalui Selat Hormuz, kata Anwar

50% bekalan minyak Malaysia lalui Selat Hormuz, kata Anwar

Perdana menteri berkata Selat Hormuz yang juga laluan utama minyak dunia terjejas akibat konflik Asia Barat, menyebabkan bekalan minyak dunia menjadi terhad dan harga melonjak.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata walaupun Malaysia pengeluar minyak, kita mengimport lebih banyak minyak daripada dieksport. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim menjelaskan Malaysia sebagai pengeluar minyak turut terkesan kenaikan harga minyak global akibat konflik di Asia Barat kerana hampir 50% bekalan minyak negara melalui Selat Hormuz.

Perdana menteri berkata, Selat Hormuz yang merupakan laluan utama minyak dunia terjejas akibat konflik itu, menyebabkan bekalan minyak dunia menjadi terhad dan harga melonjak.

“Walaupun Malaysia pengeluar minyak, kita sebenarnya mengimport lebih banyak minyak daripada dieksport,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam keadaan dunia semakin tidak menentu, katanya, usaha melindungi kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan kerajaan.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, subsidi minyak yang ditanggung kerajaan meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu susulan kenaikan harga minyak dunia.

“Rakyat serta majoriti peniaga tidak perlu membayar harga sebenar pasaran kerana subsidi ini disalurkan melalui Budi Madani RON95 (BUDI95) dan BUDI Diesel.”

Harga petrol RON97 mengalami kenaikan sebanyak RM1.30 dalam tempoh dua minggu lalu, manakala diesel di Semenanjung meningkat sebanyak RM1.60 dan RON95 tidak disubsidi naik 60 sen.

Tindakan kerajaan mengekalkan harga bahan api bersubsidi akan menyebabkan subsidi bahan api meningkat kepada RM3.2 bilion sebulan, iaitu RM2 bilion untuk RON95 dan RM1.2 bilion bagi diesel, yang terus dijual pada harga bersubsidi di Malaysia Timur.

Iran menutup Selat Hormuz susulan serangan AS-Israel sejak 28 Feb lalu yang menyebabkan harga minyak mentah melonjak sekitar USD100 setong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.