Petronas akan kerjasama dengan anak syarikat jamin cukup bekalan petrol, diesel

Petronas akan kerjasama dengan anak syarikat jamin cukup bekalan petrol, diesel

Permintaan negara terus atasi bekalan domestik, menurut Petronas.

Petronas
Petronas berkata, pihaknya akan terus bekerjasama erat dengan kerajaan dan pihak berkepentingan untuk utamakan keterjaminan tenaga dan kesejahteraan negara.
PETALING JAYA:
Petronas akan bekerjasama dengan anak syarikatnya bagi memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi untuk menangani penyusutan komoditi itu susulan konflik di Asia Barat, memandangkan permintaan negara terus mengatasi bekalan domestik.

Syarikat minyak negara itu berkata, pihaknya akan memanfaatkan rantaian nilai bersepadunya bagi menyokong penguasaan pasaran hampir 50%, sehingga Mei tahun ini.

“Baki bekalan ditampung oleh syarikat-syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia,” menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Petronas berkata, pihaknya akan terus bekerjasama erat dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi mengurus sebarang kemungkinan gangguan bekalan, serta mengutamakan keterjaminan tenaga dan kesejahteraan negara.

Syarikat itu turut menggesa pihak industri dan orang awam menggunakan tenaga dengan lebih cekap, mengambil kira tempoh serta kesan sebenar peperangan di Iran yang masih tidak menentu.

“(Pihak kami) turut menasihati orang ramai supaya tidak membeli secara panik dan menyorok bahan api kerana tindakan ini akan memburukkan lagi kesan krisis tersebut,” katanya.

Petronas berkata, walaupun Malaysia negara pengeluar minyak, ia tidak terkecuali sepenuhnya daripada impak peperangan di Iran, memandangkan hampir 40% keperluan minyak mentah negara melalui Selat Hormuz.

Katanya, sejak krisis itu tercetus, harga minyak mentah telah melonjak hampir 40%, yang seterusnya menyebabkan kos perkapalan global, premium insurans dan logistik berkaitan penghantaran meningkat secara mendadak.

“Semua perkembangan ini memberi kesan kepada jaminan bekalan bahan api Malaysia,” katanya.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mempunyai bekalan petrol yang mencukupi untuk mengekalkan harga subsidi sekurang-kurangnya sehingga Mei.

Minggu lepas, Anwar mengumumkan bahawa kuota bulanan 300 liter bagi petrol RON95 bersubsidi telah dikurangkan kepada 200 liter sebagai langkah interim bagi menangani impak konflik di Asia Barat.

Kuota baharu bagi bahan api bersubsidi itu, yang berharga RM1.99 seliter, dijangka mula berkuat kuasa bulan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.