Lelaki pijak al-Quran dijel 9 bulan

Lelaki pijak al-Quran dijel 9 bulan

Amir Abdul Malik mengaku salah cemari agama Islam dengan memuat naik rakaman dirinya pijak al-Quran pada 28 Feb lalu.

mahkamah alor gajah
Mahkamah Majistret Alor Gajah berkata perbuatan Amir Abdul Malik adalah serius kerana menyentuh sensitiviti umat Islam dan berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat. (Gambar Facebook)
ALOR GAJAH:
Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap seorang lelaki yang mengaku memijak al-Quran, bulan lepas.

Majistret Teoh Shu Yee membuat keputusan itu selepas Amir Abdul Malik, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan mencemari agama Islam dengan memuat naik rakaman dirinya memijak al-Quran, dengan niat menghina agama tersebut di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah pada 28 Feb lepas.

Amir didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Nahra Dollah dan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Abdullah Wan Radzlad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman, Ishak Kari.

Terdahulu, Nahra memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh memandangkan perbuatannya serius, lebih-lebih lagi sebagai seorang Muslim yamg menghina agama sendiri.

Ishak pula memohon hukuman penjara bermula dari tarikh Amir ditangkap, iaitu pada 15 Mac lepas.

Dalam penghakimannya, Teoh berkata perbuatan tertuduh adalah serius kerana menyentuh sensitiviti umat Islam dan berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Penghinaan terhadap mana-mana agama, sama ada Islam atau bukan Islam, berpotensi membawa kerosakan yang jauh lebih besar berbanding kecederaan fizikal kerana ia menyentuh maruah serta hak eksklusif yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau juga berkata perbuatan itu lebih membimbangkan kerana dilakukan dalam bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi ruang untuk meningkatkan keimanan dan amalan kebaikan.

Mahkamah kemudian memerintahkan Amir menjalami hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.