Warga asing ditahan, rampasan RM350,000 di kilang e-sisa haram

Warga asing ditahan, rampasan RM350,000 di kilang e-sisa haram

Polis berkata kilang itu beroperasi sejak awal 2023 dengan kebenaran menjalankan aktiviti jual beli barangan lusuh serta kitar semula.

e waste
Rampasan membabitkan empat beg jumbo campuran e-sisa skrap, termasuk gegelung kuprum serta sembilan guni campuran tablet, telefon bimbit dan papan induk. (Gambar PDRM)
BUKIT MERTAJAM:
Sisa elektronik (e-sisa) yang diproses tanpa kebenaran bernilai RM350,000 dirampas di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ringan Asas Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah (SPT), Helmi Aris, berkata dalam serbuan 1.30 tengah hari, seorang lelaki warga asing berusia 44 tahun yang juga pekerja di kilang itu ditahan.

Beliau berkata, operasi bersepadu IPK Pulau Pinang dan IPD SPT bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Lembaga Hasil Dalam Negeri Pulau Pinang serta Majlis Bandaraya Seberang Perai itu hasil maklumat awam serta risikan.

“Hasil pemeriksaan, kilang itu didapati menjalankan aktiviti pemprosesan barangan kitar semula dan digunakan untuk memproses barangan sisa elektronik tanpa kebenaran sah seperti telefon bimbit, tablet serta papan induk atau motherboard,” katanya dalam kenyataan.

Helmi berkata, rampasan terdiri daripada empat beg jumbo berisi campuran e-sisa skrap, termasuk gegelung kuprum serta sembilan guni mengandungi campuran tablet, telefon bimbit dan papan induk.

Siasatan awal mendapati kilang itu didaftarkan bawah sebuah syarikat tempatan dan beroperasi sejak awal 2023 dengan kebenaran menjalankan aktiviti jual beli barangan lusuh serta kitar semula.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan pengurusan sisa elektronik.”

Menurutnya, warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala semua rampasan diserahkan kepada JAS Pulau Pinang untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.