Pelajar IPT mengaku tak salah tuduhan cemar al-Quran

Pelajar IPT mengaku tak salah tuduhan cemar al-Quran

S Vikneswaran turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan guna kemudahan rangkaian secara tidak wajar dengan memuat naik gambar dirinya memijak al-Quran.

Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah S Vikneswaran dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan mencemarkan al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial.

Bernama melaporkan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), S Vikneswaran, 21, minta dibicarakan di depan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Tertuduh didakwa mencemarkan al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama Islam di Jalan Gambang, Taman Seri Mahkota, Kuantan kira-kira 1.30 tengah hari 22 Feb lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara sedar membuat hantaran komunikasi jelik melampau untuk menyakitkan hati orang lain.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh dihukum bawah Seksyen 233(2) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya sebanyak RM5,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Pengarah Pendakwaan Pahang, Sharizat Ismail, mencadangkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan kerana kesalahan itu amat serius dan menimbulkan kegusaran masyarakat.

Tetapi, peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman memohon jaminan dikurangkan memandangkan pelajar tahun akhir UMPSA itu masih ditanggung bapanya yang juga penternak ikan dengan pendapatan RM5,000 sebulan.

Beliau turut memaklumkan tertuduh pernah dirujuk ke sebuah klinik ketika masih bersekolah berkaitan gangguan psikologi.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 bagi dua pertuduhan dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan 8 April ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.