Ahli Parlimen perjelas tak hadir undi RUU had tempoh jawatan PM

Ahli Parlimen perjelas tak hadir undi RUU had tempoh jawatan PM

Syed Abu Hussin Hafiz kata beliau tidak bersetuju dengan pindaan dicadangkan itu, manakala Larry Sng kata terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Bukit Gantang MP Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (left) MP Larry Sng
Syed Abu Hussin Hafiz kata beliau tidak bersetuju dengan pindaan dicadangkan itu, manakala Larry Sng kata beliau menyokong RUU tersebut.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengesahkan beliau tidak hadir pada pengundian rang undang-undang (RUU) berkaitan pengehadan tempoh jawatan perdana menteri.

Syed Hussin berkata beliau tidak menyertai pengundian kerana tidak bersetuju dengan pindaan dicadangkan itu.

“Saya mahu Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri lebih lama jika dia mampu,” kata Syed Hussin, yang menyatakan sokongan kepada Anwar pada 2023, kepada FMT.

Terdahulu hari ini, FMT melaporkan Syed Hussin antara lapan Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dikatakan tidak hadir pengundian RUU tersebut.

Tujuh lain dikatakan Hishammuddin Hussein (Sembrong), M Saravanan (Tapah), Larry Sng (Julau), Henry Sum Agong (Lawas), Suhaimi Nasir (Libaran), Riduan Rubin (Tenom), dan bekas timbalan ketua menteri Sabah, Jeffrey Kitingan (Keningau).

Dalam pada itu, Sng mengesahkan tidak hadir pada pengundian petang tadi.

“Saya dalam perjalanan pulang ke Parlimen daripada urusan awal tetapi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,” katanya ketika dihubungi, dan menambah beliau menyokong RUU tersebut.

Pindaan Perlembagaan itu, yang dibentangkan sebagai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 1) 2026, mahu mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal, dan terpakai ke atas bekas perdana menteri, sekiranya ia diluluskan Parlimen.

Di sebalik sokongan pelbagai pihak, Dewan Rakyat bagaimanapun menyaksikan 44 wakil rakyat tidak mengundi manakala 32 lagi tidak hadir. RUU itu memerlukan sekurang-kurangnya 148 ahli Dewan Rakyat menyokong daripada 222 orang, namun petang tadi menyaksikan ia kekurangan dua undi.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau, menulis di Facebook bahawa lapan Ahli Parlimen daripada blok kerajaan tidak hadir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.