
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, kerajaan persekutuan akan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung petisyen kerajaan negeri itu.
Tambahnya, Putrajaya kekal komited mengadakan perbincangan konstruktif bersama Sabah dan Sarawak mengenai perkara-perkara berkaitan minyak dan gas melalui platform sedia ada.
“Kita hormati petisyen yang dibuat oleh Sarawak. Terpulang kepada mahkamah untuk buat keputusan. Saya tak mahu ulas lanjut, tetapi kita hormati proses itu,” katanya, lapor Borneo Post.
Kerajaan Sarawak memfailkan petisyen untuk mencabar Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 bagi menentukan kesahihan perlembagaan dan kebolehpakaian berterusannya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, undang-undang persekutuan tersebut memberi kesan terhadap sempadan Sarawak yang ditetapkan sebelum pembentukan Malaysia, beserta hak negeri itu ke atas sumber petroleum luar pesisir dalam sempadan berkenaan.
Kerajaan negeri turut merancang membantah permohonan kebenaran oleh Petronas bagi mendapatkan kejelasan berhubung kerangka kawal selia operasi mereka di Sarawak.
Syarikat minyak dan gas negara itu telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan pada 10 Jan untuk memastikan operasinya di negeri tersebut mematuhi segala undang-undang dan amalan tadbir urus yang terpakai.