
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata langkah itu sebagai menghormati rakan komponen yang turut terdiri Gerakan dan MIPP.
“Sepatutnya mereka bawa ke muktamar untuk mencadangkan calon PM bagi PAS, bukan bagi PN dan seterusnya bincang dalam MT PN sebagai tanda menghormati rakan komponen,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas hantaran Pemuda PAS yang mencetuskan idea mengangkat Samsuri atau dikenali Dr Sam sebagai calon perdana menteri parti itu.
Sayap PAS itu mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai idea tersebut dan berkata Samsuri telah membawa Terengganu ke tahap lebih tinggi.
Bersatu menerusi Perhimpunan Agung Tahunan September tahun lalu meluluskan usul Presiden Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ke-11 daripada parti itu.
Ketika itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor menasihatkan Bersatu supaya tidak terlalu ‘ghairah bersendirian’ membuat keputusan politik penting atas nama PN, termasuk berkaitan calon perdana menteri.
Tun Faisal kemudian menyatakan ketetapan itu dibuat mengikut peraturan dan perlembagaan parti, selain mengambil kira merit Muhyiddin yang berpengalaman serta pernah teruji menyelamatkan negara ketika pandemik Covid-19.
Beliau turut menjelaskan usul itu juga perlu dibawa ke Majlis Presiden PN untuk diputuskan secara konsensus.
MIPP pada perhimpunan tahunannya Oktober lalu turut memutuskan menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri pilihan parti itu.
Samsuri dipilih sebagai pengerusi PN menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu.
Pemilihannya mencetuskan idea dan cadangan supaya menteri besar Terengganu itu diangkat sebagai calon perdana menteri untuk PN pada PRU16.