MIPP sokong Muhyiddin sebagai calon PM

MIPP sokong Muhyiddin sebagai calon PM

Komponen Perikatan Nasional itu juga menyatakan sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi gabungan itu.

muhyiddin yassin
Presiden MIPP P Punithan bersalaman dengan Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin di perhimpunan agung tahunan parti itu hari ini.
PETALING JAYA:
Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) sebulat suara memutuskan untuk menamakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri pilihan parti itu, kata Presidennya, P Punithan.

Menyifatkan Muhyiddin sebagai ‘pemimpin yang diterima semua kaum’, Punithan turut berkata perwakilan pada perhimpunan agung tahunan MIPP hari ini turut bersetuju untuk memberikan sokongan penuh kepada beliau sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN).

“Abah adalah pilihan kami. Kami mahu Abah kembali memimpin negara,” katanya, merujuk kepada gelaran yang sering digunakan untuk bekas perdana menteri itu.

“Kami mahu kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil. Kami mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri PN,” katanya dalam ucapan penggulungan di perhimpunan itu.

Sokongan itu merupakan satu daripada lima usul yang diluluskan oleh perwakilan parti.

Dalam usul berkenaan, MIPP mengambil contoh kepimpinan Muhyiddin semasa pandemik Covid-19, dengan menekankan usaha beliau menyelamatkan nyawa dan menstabilkan ekonomi ketika tempoh kritikal itu.

“Malaysia memerlukan kerajaan yang dipimpin seorang pemimpin berpengalaman, berintegriti tinggi dan berwawasan untuk memacu kemajuan negara serta memastikan kestabilan ekonomi, sosial dan politik,” katanya.

Dalam ucapannya, Punithan turut berikrar untuk memperjuangkan hak generasi baru masyarakat India, dengan menegaskan bahawa komuniti itu tidak mahu lagi dipinggirkan.

Beliau berkata masyarakat India telah lama menyumbang kepada pembangunan negara, namun masih berdepan dengan isu kemiskinan, akses pendidikan yang terhad dan penyertaan ekonomi yang rendah.

“Masyarakat India tidak akan berdiam diri lagi. Kami tidak akan terus dipermainkan,” katanya.

“Cukuplah. Kesetiaan masyarakat India tidak boleh dipandang rendah oleh mana-mana parti politik. Kami bukan warga kelas kedua. Kami rakyat Malaysia yang bermaruah, setaraf dan berbangga.”

Satu lagi usul yang diluluskan adalah menyatakan sokongan penuh terhadap Punithan sebagai presiden MIPP, memberi kuasa kepadanya dan timbalan presiden untuk mewakili parti dalam urusan pilihan raya dan memilih kerajaan.

Usul lain menyeru kepada pengukuhan peluang pendidikan dan ekonomi untuk masyarakat India, serta meluluskan pemindahan dan pengubahsuaian ibu pejabat parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.